Monday, July 1, 2013
Johor Kuasai Hari Keempat Sukma Dengan Tambahan Lima Pingat Emas
Kontinjen Johor menguasai hari keempat temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-16 yang berlangsung di sekitar Lembah Klang selepas meraih enam emas, semalam.
Lima emas negeri selatan tanahair itu disumbangkan masing-masing dua pingat menerusi acara bina badan dan lawan pedang serta satu pingat daripada acara judo oleh Chong Wei Fu dalam kategori bawah 65kg.
Dua emas Johor dalam acara bina badan disumbangkan oleh Mohamad Naim Ponngoh (kategori bawah 60kg) dan Mohamad Amirul Muqminin Roslan dalam kategori 65-70kg.
Emas dalam acara lawan pedang disumbangkan menerusi gandingan empat serangkai; Ainul Latifah Muhammad Tai, Filzah Syabila Jamaluddin, Habibah Abidin dan Nor'aisyah Thalatha dalam acara Sabre berpasukan wanita selain Epee berpasukan wanita menerusi Fatin Syafiqah Samsudin, Nadzirah Mohd Azeman, Nur Aina Jalil dan Nur Nazihah Kailani.
Pungutan lima emas itu membolehkan kontinjen Johor yang sebelum ini berada di tangga keempat, merampas tangga kedua dari Negeri Sembilan dengan kutipan keseluruhan enam pingat emas, dua perak dan sembilan gangsa.
Kontinjen Negeri Sembilan pula turun ke tangga ketiga selepas hanya mampu menambah satu pingat emas, satu perak dan tiga gangsa untuk menjadikan jumlah keseluruhan tiga emas, satu perak dan empat gangsa. Mereka diekori rapat oleh juara bertahan,
Terengganu yang berada di tangga keempat dengan kutipan dua pingat emas, empat perak dan lima gangsa.
Kontinjen Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya masih mengungguli carta kedudukan pingat dengan kutipan enam pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.
Hanya Kontinjen Perlis yang masih belum memenangi sebarang pingat sejak temasya sukan tahunan berkenaan membuka tirai pada Khamis lepas.
Hari ini, lima acara akhir menawarkan 59 pingat keseluruhan iaitu ekuestrian, gimnastik, judo, lawan pedang selain woodball yang merupakan sukan tradisional yang pertama kali dipertandingkan pada Sukma.
No comments:
Post a Comment