Pesta Pantai akan dijadikan acara tahunan kalendar pelancongan Terengganu sebagai tarikan baharu untuk pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafie berkata langkah itu juga adalah untuk menghidupkan semula tradisi 'pesta main pantai' yang sinonim dengan masyarakat negeri ini suatu ketika dahulu.
"Dahulu pesta ini diadakan selepas musim menuai padi. Walaupun kini tidak ramai yang mengusahakan tanaman padi, kami akan hidupkan semula tradisi ini.
"Secara tidak langsung kita dapat memperkenalkan tradisi orang Terengganu dahulu seterusnya menghidupkan kembali nostalgia lama kepada generasi baharu," katanya kepada pemberita, semalam.
Beliau berkata pihaknya merangka pelbagai acara untuk menggamit kembali nostalgia zaman berzaman itu dalam Pesta Pantai yang diadakan di Pantai Teluk Ketapang.
Pesta Pantai selama empat hari mulai Khamis lepas itu dipenuhi pelbagai acara kesenian, tradisi dan warisan seperti permainan sukan rakyat, kraftangan, makanan tradisional dan persembahan kebudayaan Terengganu.
Mohd Jidin berkata pesta main pantai sebelum ini merupakan perhimpunan keluarga petani pada setiap tahun di tepi pantai untuk melepaskan penat lelah selepas menuai padi.
Mereka akan berkumpul dan berehat di pondok-pondok yang dibina di tepi pantai untuk menikmati panorama indah sambil berhibur dengan permainan tradisi, katanya.
No comments:
Post a Comment