Thursday, July 25, 2013

Kemenangan BN Dalam PRK Kuala Besut Bukti Umno Masih Menyerlah


Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan dua Naib Presiden UMNO menganggap kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut semalam, membuktikan kekuatan Umno masih menyerlah.

Kemenangan ini jelas menunjukkan pengundi memberi kepercayaan kepada calon BN dan mereka percaya kepada BN yang mengotakan setiap janji yang dibuat oleh pemimpin BN>

Datuk Seri Najib Tun Razak turut melahirkan keyakinan dengan kredibiliti calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, untuk  berkhidmat kepada masyarakat di Kuala Besut.

"Saya yakin beliau tokoh muda yang berkebolehan. Ini petanda baik sokongan rakyat terhadap BN.

"Pertambahan majoriti kemenangan menunjukkan prestasi yang menggalakkan dan semoga ianya dapat memberikan semangat yang lebih kepada semua anggota BN untuk menambah sumbangan dan daya juang," katanya.

Najib berkata demikian ketika mengulas kemenangan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan majoriti 2,592 undi ke atas calon PAS, Endot@Azlan Yusof pada PRK Kuala Besut.

Justeru itu, Najib berkata usaha untuk memperkukuhkan Umno akan terus diperkasa supaya mampu menambah keyakinan rakyat terhadap BN.

"Alhamdulillah..BN telah menang di Kuala Besut dan terima kasih kepada semua pengundi di Kuala Besut yang telah menyokong BN.

"Insya Allah kita akan tunaikan semua janji-janji pilihan raya kita ," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bersama sahabat, ketua bahagian, Puteri, Pemuda dan Wanita Umno di Seri Perdana di Putrajaya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pula menyifatkan kemenangan calon BN merupakan manifestasi sokongan pengundi kepada BN.

“Saya memanjat kesyukuran kepada Allah atas kemenangan ini kerana ia amat bermakna bagi BN kerana kita mendapat majoriti yang lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu," katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK Kuala Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, malam ini.

Beliau berkata, walaupun peratus mengundi kali ini agak rendah iaitu 80 peratus berbanding 86.7 peratus pada PRU-13, yang jelas sokongan kepada BN semakian bertambah dengan majoriti yang lebih besar iaitu 2,592 undi (majoriti pada PRU-13 ialah 2,434 undi).

Katanya, BN juga menang di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada pilihan raya kecil ini, termasuk di dua PDM yang BN kalah pada pilihan raya umum lalu.

“Ini menunjukkan sokongan rakyat kepada BN semakin meningkat kerana mereka lebih gemar kepada corak kempen yang menitikberatkan kegiatan bercorak keagamaan sepanjang kempen pilihan raya ini yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadhan,” ujar beliau.

Katanya, BN menjalankan kempen secara berhemah dan tidak menyerang peribadi calon serta mengelak daripada melakukan fitnah kepada pemimpin dan calon pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, keadaan agak berbeza dengan kempen pembangkang yang masih menggunakan taktik yang sama seperti kempen mereka sebelum ini yang lebih gemar melempakan fitnah dan memburuk-burukkan kerajan dan pemimpin BN.

Justeru itu, katanya, pengundi di Kuala Besut dapat menilai keadaan ini dan mereka membuat keputusan untuk memilih calon BN berbanding Pas.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan BN menunjukkan rakyat Terengganu menaruh kepercayaan kepada parti gabungan itu untuk terus menerajui kerajaan negeri, demikian menurut beberapa pemimpin BN.

Ia sekali gus menunjukkan rakyat tidak terpedaya malah menguburkan teori 16:16 yang digembar-gemburkan PAS bagi mewujudkan kerajaan negeri 'tergantung' yang boleh menjurus kepada ketidakstabilan politik dan pentadbiran negeri.

"Saya berharap PAS mengakui hakikat bahawa rakyat di Terengganu masih memerlukan BN, dan marilah kita istiqamah bersama-sama untuk membentuk kerajaan yang adil untuk rakyat di Terengganu," katanya di Putrajaya.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula menegaskan kemenangan itu menolak tohmahan pembangkang kononnya sokongan rakyat terhadap BN telah berkurangan.

"Tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi di Kuala Besut yang keluar mengundi dan menunaikan hak mereka," katanya mengulas kemenangan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang menewaskan calon PAS Endot@Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 undi.


No comments:

Post a Comment