Thursday, July 25, 2013
Pengundi Kuala Besut Mahu Kekalkan Kepimpinan MB Terengganu - Khairy
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata langkah BN meletakkan calon muda dan profesional seperti Tengku Zaihan terbukti keputusan yang bijak
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Abe Ku. Keputusan yang meyakinkan ini juga menunjukkan pengundi Kuala Besut dan Terengganu masih ingin mengekalkan kepimpinan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan kerajaan negeri BN," katanya.
Beliau berkata kemenangan BN menunjukkan calon muda juga diterima pengundi Kuala Besut yang inginkan pembangunan ke kawasan mereka.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan penghargaan kepada jentera Wanita UMNO yang berkempen tanpa mengenal erti penat lelah pada bulan Ramadan, termasuk dari rumah ke rumah.
"Sambutan penduduk juga sungguh mesra, ini menunjukkan BN diterima baik di sini dan saya yakin ia memberi kekuatan untuk kita pada PRU ke-14 akan datang," katanya.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata peningkatan jumlah majoriti BN membuktikan rakyat meletak kepercayaan yang tinggi kepada kepimpinan parti itu untuk menerajui Terengganu.
"Pengundi sekarang sudah bertambah matang, dapat membezakan yang mana benar dan yang mana dusta, yang mana kaca dan yang mana intan," katanya.
Bagi Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, kemenangan itu merupakan satu pengesahan bahawa penduduk Kuala Besut inginkan kestabilan di Terengganu.
"Ia satu petunjuk yang kuat bahawa mereka inginkan kestabilan serta yakin dengan BN apabila mereka mengundi untuk mengelak berlakunya situasi 16:16 di negeri itu.
"Ia menunjukkan rakyat yakin bahawa kerajaan negeri mampu memimpin mereka ke arah masa depan lebih baik," katanya.
Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel menyifatkan kemenangan itu adalah satu petanda yang baik untuk BN.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas pula berkata keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan rakyat masih menyokong parti gabungan BN bagi menerajui kerajaan negeri.
"Ia agak jelas daripada keputusan itu bahawa rakyat di Terengganu masih lebih menyukai pendekatan aman dan progresif dalam tadbir urus," katanya ketika dihubungi.
Pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn berkata kemenangan itu menzahirkan kepercayaan berterusan rakyat terhadap BN susulan pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas.
Chang juga berharap sokongan sedemikian kepada BN, parti gabungan yang mengemudi negara sejak lebih lima dekad lepas, bukan sahaja dilihat di Kuala Besut bahkan kawasan lain di seluruh negara.
Naib Pengerusi MCA Datuk Donald Lim Siang Chai pula menyifatkan keputusan itu menunjukkan parti komponen BN sederap dalam melakar percaturan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
No comments:
Post a Comment