Tuesday, July 16, 2013

Kenaikan Harga Makanan Ayam Dorong Kenaikan Harga Ayam Di Pasaran?


Harga ayam di Terengganu masih terkawal dan mengikut purata harga seluruh negara dan sehingga kini Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) negeri belum menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang terutama ayam.

Pengarah Pejabat PDNKK Terengganu Syamsul Badrein Mohshin berkata pihaknya telah menggerakkan kesemua 81 anggota penguatkuasa di Besut, Dungun, Kuala Terengganu dan Kemaman untuk memantau paras harga barangan sepanjang Ramadan dan Syawal nanti.

Di ibu negara, harga ayam masih terkawal iaitu dijual antara RM7.50 sehingga RM8 sekilogram, manakala daging import antara RM14.50 sehingga RM16.50 sekilogram dan daging tempatan RM26 sekilogram.

Suri rumah Asmirawati Abdullah, 31, meminta peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan keperluan sewenang-wenangnya menjelang Aidilfitri agar tidak membebankan umat Islam.

Bagaimanapun, harga barang keperluan lain seperti timun, terung, tomato, kacang panjang, kubis dan cili merah tidak menentu kerana dipengaruhi faktor seperti iklim, kesegaran dan harga yang ditawarkan pembekal.

Sementara itu,  Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak menolak kemungkinan kenaikan harga makanan ayam menjadi punca harga ayam naik mendadak sehingga RM9 sekilogram sekarang.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata harga makanan ayam yang diimport dari Australia dan Thailand meningkat dari semasa ke semasa.

"Sektor ternakan ayam negara di bawah seliaan kementerian selama ini tidak mengalami sebarang masalah malah negara mampu mengeksport ayam ke Singapura," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat kementerian tersebut bersama Exco pertanian negeri semalam.

Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya negara menghasilkan bekalan makanan ternakan sendiri bagi membantu menyelesaikan masalah itu pada masa akan datang.

Beliau berkata Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sedang melaksanakan projek rintis dengan syarikat pengeluar makanan ternakan dari India untuk menghasilkan makanan ternakan berasaskan soya dan jagung.

"Projek rintis ini sedang dijalankan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan dijangka menghasilkan 20 tan metrik bekalan makanan ternakan tahun ini," katanya.

Beliau berkata jika projek ini berjaya, negara akan meminimumkan import bekalan makanan ternakan antaranya lembu, ayam, ikan patin dan kambing.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengajak 1.4 juta penjawat awam memboikot ayam supaya pembekal dapat menurunkan semula harga pasaran ayam kepada kadar berpatutan.

"Kenaikan harga ayam sehingga RM9.50 sekilogram setakat ini, melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM6.80 sekilogram adalah keterlaluan dan alasan menaikkan harga kerana bulan Ramadan dan hari raya sangat tidak munasabah," kata Presidennya Datuk Omar Osman.

No comments:

Post a Comment