Tuesday, July 16, 2013

PAS Sambut Baik Program Pembangunan Kuala Besut


PAS menyambut baik dan memuji sebarang projek pembangunan dan program membasmi kemiskinan yang dirancang kerajaan negeri mahu pun kerajaan pusat untuk masyarakat di Kuala Besut.

Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad, berkata parti itu tidak menentang sebarang bentuk pembangunan apatah lagi jika ia percuma untuk keperluan rakyat miskin dan tidak berkemampuan.

Bercakap pada sidang media harian PAS di Kampung Baharu di Kuala Besut, beliau berkata PAS cuma tidak mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadikan pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut sebagai medan menabur janji manis dan mengumpan rakyat termasuk program dan projek pembangunan.


Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan projek perumahan rumah mampu milik di Kampung Lay Out Tok Saboh untuk penduduk berpendapatan rendah, tidak berkemampuan dan miskin.

Muhyiddin dilaporkan berkata apa yang dilaksanakan itu merupakan dasar yang diterapkan kerajaan BN sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, selaras dengan syiar Islam iaitu menangani soal kediaman dan membantu umat Islam memiliki kehidupan lebih baik.

Mengulas laporan bahawa calon PAS diarahkan tutup mulut kepada media, Wan Azhar berkata kepimpinan PAS telah memutuskan bahawa sidang harian mereka dijadikan pentas membuat sidang akhbar dan kenyataan media.

"Calon sekali-sekala akan datang ke sini kerana jadualnya terlalu padat," katanya.

No comments:

Post a Comment