Tuesday, July 23, 2013

Kerajaan Prihatin, Projek Di Kuala Besut Telah Lama Dirancang - Ismail Sabri


Pelbagai projek yang akan dilaksanakan di Kuala Besut telah lama dirancang kerajaan yang prihatin dengan nasib rakyat dan bukan disebabkan pilihan raya kecil atau pendedahan pembangkang, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menegaskan projek seperti pembinaan benteng pemecah ombak dan projek menaik taraf empangan di Kampung Nangka di sini sebenarnya mengambil masa bertahun-tahun untuk dirancang sebelum dilaksanakan.

"Tidak timbul bantuan diluluskan dengan tergesa-gesa, kerana untuk buat lukisan dan kajian sesuatu projek seperti empangan tidak boleh dilakukan dalam dua minggu tetapi memakan masa bertahun-tahun, sedangkan PRK (pilihan raya kecil) baru sahaja diumumkan.

Agaknya pembangkang ingat bina benteng pemecah ombak macam buat batas sawah, boleh dibuat sesuka hati dalam masa seminggu. Sebab itu mereka ini tidak boleh merancang kerana anggap semuanya dibuat begitu sahaja," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Tani Kuala Besut semalam.

 Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli yang mendakwa bantuan untuk kepentingan rakyat di Kuala Besut merupakan hasil pendedahan pembangkang sempena PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 27 Julai ini.

Selain itu, Ismail Sabri juga berkata pihak kerajaan sentiasa mendapatkan pandangan golongan petani dan nelayan untuk mengetahui keperluan mereka, tanpa menunggu pilihan raya diadakan.

Justeru, katanya, sifat pembangkang yang cuba mengambil pujian atas usaha kerajaan itu dilakukan kerana mereka ketandusan isu untuk meraih simpati pengundi agar memilih calon PAS yang jauh ketinggalan daripada pelbagai segi termasuk kelayakan akademik dengan Tengku Zaihan.

Ismail Sabri berkata beliau optimis BN akan menang dengan majoriti lebih besar berbanding 2,434 undi pada pilihan raya umum lalu kerana penduduk kini faham kemenangan calon BN penting untuk mengekalkan kestabilan politik Terengganu.

No comments:

Post a Comment