Tuesday, July 23, 2013

Jalan Utama Di Pekan Kuala Besut Dilencong Pada Hari Mengundi


Polis akan membuat beberapa lencongan jalan utama di pekan ini pada hari mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Besut Rabu ini bagi mengelakkan kesesakan dan melancarkan proses pengundian.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata lencongan akan berlangsung sepanjang tempoh proses pengundian dari 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya bermula dari simpang empat jeti Kuala Besut laluan kenderaan hanya dibuka dua hala dan kenderaan dari arah Kampung Raja tidak boleh memasuki simpang Jeti Kuala Besut.

Selain itu, kenderaan dari arah Kuala Besut tidak boleh masuk melalui simpang Kampung Nail dan kenderaan untuk ke Kota Baharu hendaklah melalui jalan Alor Pisang dan Tok Saboh.

"Kita sarankan kesemua pengguna menggunakan lencongan itu bagi mengelakkan kesesakan sehingga berakhir proses pengundian," katanya dalam sidang media semalam.

Menurutnya bermula pukul 6 petang semasa proses penjumlahan undi pihaknya akan menutup jalan di Dewan Gong Kemuntong iaitu jalan utama Kampung Raja/Jerteh bermula dari lampu isyarat SJK (C) Chung Hwa hingga Jalan Nyiur Tujuh. Kenderaan dari Kuala Terengganu/Jerteh ke Kampung Raja dan dari Kampung Raja ke Kuala Terengganu/Jerteh boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Gong Nering. 

Kamaruddin berkata parti yang bertanding tidak dibenarkan mendirikan apa-apa barong khususnya di kawasan 50 meter dari pusat mengundi.

Beliau berkata pemilik kenderaan perlu memastikan kenderaan mereka diletakkan di tempat yang dikhaskan bagi mengelakkan kesesakan dan dilarang meletakkan sebarang kenderaan di kawasan 500 meter dari pusat mengundi.

"Namun mereka dibenarkan untuk menurunkan penumpang khususnya pengundi-pengundi uzur atau kurang upaya di hadapan pintu masuk tempat pengundian," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menempatkan anggota di lokasi yang terletak 50 meter dan 500 meter dari pusat mengundi bagi memastikan tiada sebarang aktiviti meraih undi berlaku.

No comments:

Post a Comment