Monday, July 1, 2013

Kerajaan Terengganu Diminta Wujudkan Garis Panduan Bela Nasib Kontraktor


Kerajaan negeri Terengganu diminta mewujudkan satu garis panduan khas bagi memastikan industri pembinaan di negeri itu kembali 'segar' dengan peraturan baharu untuk membela nasib golongan kontraktor dan pembekal.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Terengganu, Datuk Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri berkata pihaknya menerima banyak rungutan dari anggota persatuan mengenai masalah yang mereka hadapi berikutan kehadiran ramai kontraktor dari luar Terengganu sehingga menjejaskan 'periuk nasi' kontraktor tempatan.

Mengulas lanjut, Mohd Nasir berkata projek yang diberi kepada kontraktor utama bukan anak jati Terengganu atau bukan berbangsa Melayu hanya memburukkan lagi keadaan.

"Jika kontraktor utamanya ialah anak Terengganu berbangsa Melayu, saya optimis perkongsian usaha sama dengan sub kontraktor bangsa lain lebih luas, namun senario sekarang adalah sebaliknya.

"Persatuan harap kerajaan negeri akan menetapkan peraturan khusus untuk kepentingan pembekal bahan binaan tempatan contohnya, kontraktor luar terbabit mesti membeli barang binaan dari pembekal tempatan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-37 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

 Terdapat kira-kira 2,000 kontraktor di seluruh Terengganu, namun hanya 1,000 yang berdaftar dengan persatuan.

No comments:

Post a Comment