Friday, July 19, 2013

Ketengah Belanja RM1 Juta Bantu Golongan Kurang Bernasib Baik

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) membelanjakan kira-kira RM1 juta kepada 4,834 penerima sumbangan dari Tabung Amanah Masyarakat Ketengah tahun ini bagi membantu golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya.

Pengurus Besar Ketengah Wan Mat Amin Wan Daud berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban kewangan kepada mereka yang berkenaan.

"Jumlah penerima sumbangan juga semakin meningkat berbanding seramai 3,157 orang tahun lalu, 2,610 (2011) dan 1,064 (2010) 2010 dan insya-Allah akan lebih ramai diberi bantuan seiring dengan peningkatan sumbangan dari lima anak syarikat Ketengah.

"Pada tahun ini, sumbangan dimulakan di Cheneh dan akan diadakan di Ajil, Hulu Terengganu, Al Muktafi Billah Shah di Dungun dan Bandar Seri Bandi di sini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 360 penerima bantuan itu di Bandar Baru Cheneh di Kemaman, semalam.

Lima anak syarikat Ketengah yang terlibat dalam bidang perladangan perlu memberi sumbangan kepada tabung itu mengikut peratusan keuntungan yang ditetapkan pihak pengurusan Ketengah - Ketengah Jaya Sdn Bhd, YTI-Ketengah Perwira Sdn Bhd, Rakyat Ketengah Perwira Sdn Bhd, Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd dan Ketengah Perwira Sdn Bhd.

Ketengah ialah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang diperbadankan pada 12 April 1973 dan diberi kuasa untuk menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan seluas 443,876 hektar meliputi pedalaman daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

"Selain bantuan untuk ibu tunggal, OKU dan orang miskin, Ketengah juga menyalurkan bantuan kepada pelajar sekolah dari keluarga kurang mampu," katanya.

No comments:

Post a Comment