Friday, July 19, 2013

Kampus Antarabangsa UniSZA Di China Beroperasi Ogos Ini

Kampus Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di China akan mula beroperasi pada Ogos ini.

Naib Canselor UniSZA Prof Dr Yahya Ibrahim berkata pihaknya akan menandatangani memorandum perjanjian persetujuan (MOA) dengan konsortium melibatkan kerjasama tiga buah universiti terbesar di China iaitu Guandong University of usiness Studies, University Guangzhou serta University Beihang.

Beliau berkata kampus antarabangsa itu akan terus beroperasi sebaik sahaja MOA itu ditandatangani dengan kemasukan 200 pelajar dari China untuk semester pertama.

"Kampus ini kita tawarkan kepada pelajar di China yang berminat untuk belajar dengan UniSZA dan kita juga menawarkan untuk mereka belajar di kampus Antarabangsa UniSZA di Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan University Prince of Songkhla, Cawangan Pattani, Thailand di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya program yang ditawarkan adalah peringkat Sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam kursus Undang-undang dan Pengurusan.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha kita dalam mengantarabangsakan universiti ini dan memberi peluang kepada pelajar yang berminat untuk mendaftar dengan UniSZA tetapi kurang berminat datang ke Terengganu," katanya.

No comments:

Post a Comment