Sunday, July 7, 2013

KPDNKK Lancar Ops Harga 2013


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek semalam melancarkan Ops Harga 2013 untuk menangani isu kenaikan harga barangan keperluan sempena bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, seramai 1,845 anggota penguat kuasa di seluruh negara akan digerakkan bagi menjayakan operasi tersebut. Selain itu, katanya, seramai 1,071 pegawai pemantau harga kementerian akan melakukan pemantauan bagi mengesan kenaikan harga.

“Operasi itu juga bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan memanipulasi harga dan mematuhi perundangan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Ops Harga 2013 peringkat kebangsaan di Pasar Besar Seremban di sini. Ops Harga 2013 dilancarkan serentak di seluruh negara semalam.

Hasan berkata, dalam usaha menyekat kenaikan harga yang tidak berpatutan, tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada peniaga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut, mereka berhadapan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat laporan mengenai kenaikan harga barangan, boleh hubungi KPDNKK di talian hotline 1800-886-800.

No comments:

Post a Comment