Friday, July 19, 2013

Mara: 4 Lagi MRSM Bakal Dibuka

Empat lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bakal diwujudkan di seluruh negara bagi menampung permohonan kemasukan pelajar yang semakin meningkat kebelakangan ini.

MRSM berkenaan terletak di Arau, Perlis yang dijangka siap pada penghujung tahun hadapan, selain di Kuala Kangsar, Perak; Tanjung Karang, Selangor dan Semporna, Sabah.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Ibrahim Ahmad berkata pembinaan MRSM baharu itu yang dijangkakan siap dalam tempoh setahun hingga dua tahun akan memberikan tambahan tempat kepada 1,000 pelajar pada setiap sesi pengambilan.

"Penambahan MRSM ini akan menjadikan jumlah keseluruhan MRSM, 54 buah dan akan membuka lebih peluang memandangkan tahun ini sahaja kita menerima 44,000 permohonan sedangkan tempat yang ada hanya untuk 9,000 pelajar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Cakna MARA Keusahawanan dan Pendidikan di Masjid Al-Jamhuriah di Kuala Besut, semalam.

Pada program itu, Ibrahim menyampaikan sumbangan bernilai antara RM100 dan RM300 kepada 397 pelajar sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut manakala 200 pelajar pula menerima bantuan pakaian sekolah.

Seorang penerima sumbangan Siti Akilah Amirah Abu Bakar, 14, dari MRSM Kota Putra berkata wang RM300 itu akan diserahkan kepada ibunya Jahuriah Hasan, 47, yang berada di Tumpat, Kelantan.

"Ibu bekerja sebagai pembantu kedai untuk membesarkan kami lima beradik selepas kematian ayah, Abu Bakar Arshad pada 2011 akibat kencing manis dan darah tinggi," katanya.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Air Terjun di sini, Nur Amanisa Hasanudin, 11, pula memberitahu beliau mahu mengajak ibunya untuk mencari baju raya dengan menggunakan wang RM100 yang diterimanya semalam.

No comments:

Post a Comment