Mereka yang berkenaan diingatkan agar tidak meletak sebarang lambang parti politik di masjid dan surau di Kuala Besut sepanjang pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Datuk Mohd Rozali Salleh berkata arahan itu bagi memastikan masjid dan surau tidak disalah guna untuk berkempen.
Masjid dan surau adalah tempat ibadah dan kita tidak ingin rumah Allah ini digunakan untuk tujuan politik mana-mana parti, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat, di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau turut mengingatkan parti-parti yang bertanding, khususnya umat Islam agar menghormati bulan Ramadan ketika berkempen pada pilihan raya kecil itu.
Elakkan kempen yang berunsur fitnah dan mengumpat, nasihat beliau.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini untuk hari membuang undi manakala Jumaat ini sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu.
Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.
No comments:
Post a Comment