Thursday, July 11, 2013

Program Taman Kekal Pengeluaran Makanan Berhasil Capai Sasaran - KP Kementerian Pertanian

Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran makanan secara berskala besar di negara ini berjaya mengeluarkan hasil sebagaimana sasaran.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Mustaffa Kamal Baharuddin berkata sehingga kini 67 TKPM diwujudkan di seluruh negara yang menumpukan kepada pengeluaran buah-buahan dan sayuran.

"Daripada jumlah itu, tiga daripadanya diwujudkan di Terengganu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara wakil usahawan tani dan Syarikat Nature Green Trading, APAG Agriculture Produce and Exotic (M) Sdn Bhd di TKPM Tok Dor di Besut.

Dalam perjanjian itu syarikat berkenaan akan bertindak sebagai pembeli hasil pengeluaran tani buah rock melon TKPM Tok Dor Besut secara kontrak.

Mustaffa Kamal berkata dari Januari hingga Jun tahun ini, TKPM berjaya mencatat pengeluaran sebanyak 21,371.94 metrik tan tanaman makanan dengan nilai sekitar RM30 juta.

Beliau berkata dari segi pendapatan peserta pula, TKPM Tok Dor, Besut muncul terbaik apabila mencatat jumlah pendapatan bersih RM3.16 juta daripada 36 peserta yang mengusahakan tanaman.

"Daripada jumlah itu, empat peserta di TKPM Besut berjaya menjana pendapatan bersih mencecah RM17,000 hingga RM20,000 sebulan", katanya.

No comments:

Post a Comment