Tuesday, July 2, 2013

PAS Terengganu Kaji Perlembagaan Mengenai Persamaan Jumlah Kerusi DUN


"Pasal benda ini benda baru, jadi kita kena periksa betul-betul dan peguam kita pun dah mula buat kajian mengenai perlembagaan itu."  - Abdul Wahid Endut
PAS Terengganu sedang mengkaji perlembagaan dan enakmen yang menyatakan kerusi Yang Dipertua Dewan Negeri menjadi penentu jika berlaku persamaan jumlah kerusi di dewan itu.

 Pesuruhjayanya, Abdul Wahid Endut berkata peguam parti akan mendapatkan bantuan pakar perlembagaan serta individu yang mahir dalam hal berkenaan.

Semalam, Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh menyatakan kerajaan Terengganu tetap diperintah BN walaupun PAS memenangi kerusi DUN Kuala Besut.


Ini kerana Yang Dipertua Dewan Negeri dikatakan mempunyai suara penentu jika berlaku persamaan jumlah kerusi 16-16 bagi kerajaan dan pembangkang.

Persamaan jumlah kerusi itu akan berlaku jika pembangkang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut akan datang, diadakan berikutan kematian penyandangnya, Doktor A. Rahman Mokhtar 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

"Pasal benda ini benda baru, jadi kita kena periksa betul-betul dan peguam kita pun dah mula buat kajian mengenai perlembagaan itu," kata Abdul Wahid pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Sementara itu PAS menganggap PRK Kuala Besut amat penting untuk ditakluki dan segala jentera parti telah bersiap sedia.

Walaupun menyedari majoriti undi 2,434 yang dimenangi BN dalam pilihan raya umum lepas agak besar, PAS tetap optimis untuk memenangi kerusi berkenaan.

PAS memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan calon antara parti itu dengan PKR. Kawasan itu adalah kawasan PAS yang telah ditandingi sejak sekian lama, kata sumber parti itu.

No comments:

Post a Comment