Wednesday, July 24, 2013

'Pelancong Pilihan Raya' Kuala Besut Cetuskan Provokasi

Ahmad Said, turut meluangkan masa meninjau pusat pengundian di Pulau Perhentian.
Beberapa insiden provokasi terhadap petugas pilihan raya Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut pada Rabu dipercayai dilakukan "pelancong pilihan raya" pembangkang.

Ini kerana menurut Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil BN Datuk Seri Idris Jusoh, budaya provokasi termasuk menghina itu bukan amalan penduduk setempat yang mengenali satu sama lain.

"Mereka (penyokong pembangkang dari luar) membuat bising dan mengeluarkan kata-kata menyindir dan memfitnah untuk membantu calon mereka yang tidak sepatutnya dilakukan pada bulan Ramadan sekarang," katanya selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri.


Bagaimanapun menurut Idris, berdasarkan lawatannya ke pusat pengundian, provokasi itu tidak menjejaskan semangat petugas pilihan raya BN yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

Idris yang juga Menteri Pendidikan Kedua berkata setakat ini proses pengundian berlangsung dalam suasana terkawal.

Selain Idris, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said turut kelihatan meninjau pusat mengundi.

Di pusat mengundi SK Kampung Nangka misalnya, kedua-dua pemimpin itu dilihat bersama-sama berjumpa pengundi selain membantu menolak kerusi roda pengundi uzur.

Sementara itu, Ahmad Said, turut meluangkan masa meninjau pusat pengundian di Pulau Perhentian, bagi memastikan penduduk di situ keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Selepas melawat beberapa pusat pengundi di sekitar Kuala Besut pagi ini, beliau menaiki bot kira-kira jam 10 pagi ke Pulau Perhentian.

Ahmad Said berada di pulau berkenaan kira-kira dua jam sebelum berlepas pulang ke tanah besar kira-kira jam 12 tengahari.

No comments:

Post a Comment