Keadaan cuaca panas, lebih-lebih lagi berdekatan dengan pesisir pantai, bukan penghalang Pemuda Barisan Nasional (BN) meneruskan kempen termasuk mengadakan tinjauan mesra di kampung-kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut bagi meraih sokongan pengundi.
Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata sokongan generasi muda kepada BN berada di tahap yang tinggi dan menggalakkan terutama dengan pendekatan kempen Pemuda melawat pengundi secara terus dari rumah ke rumah.
"Oleh kerana berkempen dalam bulan puasa, pendekatan menerusi ziarah rumah ke rumah kami dapati adalah paling berkesan sebabnya kita tiada ceramah besar mahupun kempen berskala besar, lebih-lebih lagi pada hari kerja.
"Kami harap melalui pendekatan ini, sasaran kami adalah rumah-rumah pengundi muda walaupun kami jumpa warga emas sebab kami dapati cucu mereka adalah pengundi muda yang wajar didekati di kawasan sini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui berkonvoi motosikal bersama hampir 100 Pemuda BN melakukan ziarah rumah-rumah pengundi muda di Kampung Seberang Barat di Kuala Besut.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata jentera Pemuda akan terus melakukan gerak gempur bagi mendekati pengundi muda tanpa mengira fahaman politik dan kaum termasuk melalui aktiviti sukan dan berbuka puasa.
Mengulas sambutan dan penerimaan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman oleh pengundi muda, Khairy berkata beliau yakin BN mampu memperoleh majoriti besar berdasarkan rata-rata yang ditemui cukup senang dengan calon BN itu.
"Alhamdulillah mereka (pengundi) kata cukup senang dengan calon itu yang profesional bawa diri dengan cara yang rendah diri dan ada kesungguhan untuk membantu orang kampung di sini," katanya.
Namun beliau meminta Pemuda BN supaya usah terlalu yakin dengan menganggap kawasan itu mudah menang dan mengambil sikap sambil lewa dalam kempen semata-mata kerana kawasan itu merupakan kubu kuat BN sebelum ini.
Berdasarkan senario terkini kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut yang dianggap sedikit hambar berbanding pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini, anggota Parlimen Rembau itu menjangkakan kempen akan berubah dan dipertingkat menjelang Jumaat ini kerana pastinya ramai anggota kabinet akan turun selepas tamat sidang Parlimen hari ini.
PRK DUN Kuala Besut akan diadakan pada Rabu (24 Julai) menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tengku Zaihan, 37, dan calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48, berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, dari BN pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.
No comments:
Post a Comment