Thursday, July 18, 2013

Terima Kasih PM Lulus RM250 Juta Untuk Dalamkan Muara - Nelayan Besut


Kira-kira 2,000 nelayan daerah Besut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana meluluskan peruntukan RM250 juta bagi projek mendalam muara sungai Kuala Besut untuk kepentingan mereka.

Pengerusi Persatuan Nelayan Besut Che Busu Ismail yang mewakili nelayan daerah Besut menganggap pengumuman peruntukan projek itu oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin di Alor Peroi, Kuala Besut kelmarin sebagai satu rahmat yang dinanti-nanti oleh setiap nelayan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Katanya projek mendalam muara sungai Kuala Besut itu pasti akan dapat membantu menambah hasil kaum nelayan yang kini sedikit terjejas ekoran muara sungai cetek hingga menyebabkan kebanyakan pendaratan ikan terpaksa dilakukan di Tok Bali, Kelantan sekarang.

"Ini menyebabkan hasil pendaratan di Kuala Besut sebagai sebuah pusat pendaratan ikan yang terbanyak di negara kini terjejas," katanya semalam.

Che Busu berkata buat masa sekarang terdapat 351 buah bot nelayan yang beroperasi di daerah Besut dan daripada jumlah itu hanya kira-kira 45 peratus sahaja yang menggunakan pendaratan LKIM di Kuala Besut akibat masalah muara cetek.

Katanya kebanyakan peraih ikan dari Kelantan dan Pahang perlu mengambil ikan yang didaratkan pada awal pagi yang kadangkala terganggu kerana bot yang mendaratkan ikan Kompleks Ikan LKIM di Kuala Besut terpaksa menunggu hingga air pasang untuk melalui muara.

Justeru, katanya, banyak peraih didapati beralih ke Tok Bali di Kelantan bagi mendapatkan ikan kerana bukan sahaja bot boleh mendaratkan ikan lebih awal malah kebanyakan bot nelayan di situ tidak berdepan masalah muara cetek.

Menceritakan tentang sejarah lalu, Che Busu berkata hampir tiap tahun terdapat bot yang karam atau tenggelam di muara Sungai Kuala Besut kerana terlanggar beting pasir atau kerana muara yang cetek.

Beliau berkata setakat ini hanya bot bersaiz kecil dalam kelas A,B dan C sahaja yang boleh memasuki muara Kuala Besut sepanjang masa tetapi kebanyakannya tidak membawa sama tangkapan yang banyak sebagaimana diperlukan.

No comments:

Post a Comment