Monday, July 29, 2013
Pertandingan Kad Raya Cungkil Bakat Peserta
Perpustakaan Awam Daerah Hulu Terengganu (PADHT) dan Pusat Bestari.comm Kuala Berang mengorak langkah menganjurkan Pertandingan Kad Raya Kreatif dalam usaha memastikan kad raya tidak terus dilupakan khususnya oleh generasi muda.
Pegawai PADHT, Mohamad Zainal Mohd Hassan berkata, aktiviti disertai 20 peserta itu diharap mampu mencungkil bakat serta kreativiti masing-masing selain memastikan masa lapang dapat diisi dengan perkara berfaedah.
“Sedia maklum, kad raya kini semakin dilupakan sedangkan ia mempunyai nilai sentimental tersendiri. Ramai individu lebih memilih menggunakan kemudahan teknologi terkini seperti melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
“Dalam memastikan kad raya tidak terus dilupakan akibat perubahan zaman, PADHT dan Pusat Bestari.comm Kuala Berang memainkan peranan melalui pelaksanaan program hari ini. Apatah lagi kad raya sebenarnya salah satu kemeriahan hari raya.
“Seiring dengan perkembangan teknologi, aktiviti hari ini (semalam) melibatkan kad raya dihasilkan secara digital. Usaha sebegini juga turut membantu peserta menguasai komputer dan lebih penting menggunakan kemudahan internet untuk perkara berfaedah,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Pertandingan Kad Raya Kreatif di Pusat Bestari.comm Kuala Berang, semalam yang turut dihadiri Pegawai Eksekutif Teknologi Maklumat Bestari.comm Kuala Berang, Fakhruddin Mohd Salleh.
Dalam perkembangan berlainan, Mohamad Zainal berkata, pihaknya juga merancang untuk mengadakan program mengacau bubur lambuk sebagai salah satu pengisian aktiviti PADHT pada Ramadan kali ini sekali gus eratkan silaturahim antara satu sama lain.
SH Online
No comments:
Post a Comment