Sunday, July 28, 2013

Rasuah RM452 Juta Beli Scorpene - Semata-Mata Fitnah Jahat SUARAM, Pembangkang


Pembohongan demi pembohongan pemimpin parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersekongkol dengan mereka ditunjangi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) terhadap isu pembelian kapal selam Scorpene semakin terbongkar.

Ia berlaku apabila seorang individu penting dalam urusan jual beli berkenaan bersuara semalam selepas tujuh tahun mengunci mulut.

Dianggap arkitek yang merintis kepada urusan beli Scorpene, Jasbir Singh Chahl mendedahkan dua penipuan besar pemimpin pembangkang dan Suaram ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta kerajaan Malaysia.

Menerusi akhbar New Straits Times semalam, Jasbir menafikan penglibatan mendiang Altantuya Shaariibuu dari Mongolia dalam urusan pembelian itu, malah menjelaskan isu rasuah bernilai RM452 juta yang kononnya dibayar firma perniagaan Perancis, DCNS kepada pegawai kerajaan Malaysia adalah satu lagi fitnah jahat.

Arkitek pembelian kapal selam Scorpene itu semalam menafikan sekeras-kerasnya kewujudan elemen rasuah dalam urus janji Scorpene yang kontroversi itu.

Perspektif negatif yang sengaja dimainkan pihak tertentu berhubung isu pembayaran RM452 juta (115 juta euro) sebagai 'komisen' kepada Perimekar Sdn Bhd, disangkal oleh Jasbir Singh Chahl, yang menegaskan jumlah itu sebenarnya bayaran khidmat pengurusan bagi syarikat berkenaan.

Dalam wawancara eksklusif dengan akhbar The New Straits Times, Jasbir yang bercakap buat kali pertama mengenai urus janji itu, berkata syarikat itu bertanggungjawab dalam logistik dan latihan pegawai serta anggota Angkatan Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut laporan itu, bayaran itu meliputi perkhidmatan pengurusan projek dan integrasi pojek, menyelaraskan penglibatan syarikat Malaysia dalam program penyertaan industri dalam peruntukan perkhidmatan semasa fasa pembinaan dan untuk memantau prestasi firma terlibat. Perimekar Sdn Bhd dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Boustead Holdings Sdn Bhd dan K.S. Ombak Laut Sdn Bhd. 

Ia juga bagi membantu kontraktor utama supaya mematuhi semua undang-undang dan prosedur tempatan berkaitan pelaksanaan kontrak, menyelaras dan memantau latihan kakitangan TLDM, berdasarkan kontrak utama dan sejajar dengan jangkaan kerajaan Malaysia dan TLDM, serta menyediakan laporan bulanan bagi semua perkara yang dinyatakan itu.

Sebahagian besar daripada bayaran itu melibatkan aspek makanan dan penginapan serta semua perkhidmatan yang perlu bagi latihan kakitangan TLDM dan keluarga mereka di Brest, Perancis dan Sepanyol selama tempoh enam tahun termasuk premium insurans kesihatan serta elaun saraan harian minimum 50 euro seorang.

Kos lain termasuk bayaran tambang pergi balik ke Malaysia tiga kali setahun. Keseluruhannya, 145 kakitangan TLDM termasuk 49 pegawai dan tanggungan mereka yang diliputi.

"Kami digambarkan seperti mengaut keuntungan dengan hanya duduk sahaja dan memperoleh hasil sedangkan, pada hakikatnya, terdapat banyak kerja keras, ketara, yang dilaksanakan," katanya. Beliau turut dipetik sebagai berkata tawaran komersil itu adalah menarik disebabkan program penyertaan industri unggul, yang dijalankan bersama.

"Program perdagangan balas dan timbal balas yang kami cadangkan sebagai sebahagian daripada cadangan keseluruhan turut memungkinkan kejayaan memihak kepada kami," katanya.

 Jasbir berkata berdasarkan kekuatan dan keunggulan komersil pada cadangan itu, mereka tidak perlu melobi sesiapa supaya mempengaruhi dalam proses penilaian komersil. "Scorpene adalah kapal selam janaan bukan nuklear terbaik yang kita, sebagai sebuah negara, boleh memilih," katanya.

No comments:

Post a Comment