Monday, July 8, 2013

Petronas Pilih Sekolah Menengah Angkat Mulai 2013

Mulai tahun ini, Petronas akan memilih beberapa sekolah menengah sebagai sekolah angkatnya berikutan kejayaan Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) yang diaplikasikan di 53 sekolah rendah, di seluruh negara.

Pengurus Besar Pejabat Petronas, Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Wan Abdullah berkata proses mengenal pasti sekolah terbabit sedang dijalankan dan ia dijangka selesai, sebelum akhir tahun ini.

"Menerusi program itu, murid bukan sahaja didedahkan dengan teknik mudah menjawab soalan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), malah program motivasi dan kendiri telah meningkatkan keyakinan pelajar ketika menduduki peperiksaan.

"Keberkesanan program itu terbukti apabila keputusan UPSR lalu mencatatkan peningkatan sebanyak lima peratus khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penutupan Kem Motivasi UPSR 2013, PSIP yang disempurnakan Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd Zin di Hotel Prinzpark Kuala Terengganu, semalam.

Kem PSIP yang berlangsung selama tiga hari untuk zon Pantai Timur itu disertai 250 murid Tahun Enam dari 11 buah sekolah angkat dari Pahang dan Terengganu.

Kem tersebut merupakan kem terakhir selepas dua kem serupa dijalankan di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu melibatkan seramai 419 murid.

Wan Mohd Hasnan berkata sehingga kini Petronas Wilayah Timur telah memperuntukkan sebanyak 420,000 kepada 12 sekolah anak angkat di sekitar kawasan operasi Petronas di Kerteh.

"Oleh kerana murid-murid yang menyertai kem ini menunjukkan peningkatan akademik, kita akan terus memantau perkembangan pelajaran mereka apabila memasuki sekolah menengah," katanya.

No comments:

Post a Comment