Majlis Daerah Besut (MDB) merobohkan tiga premis haram yang dikenal pasti menjual minuman keras di Pulau Perhentian, dalam satu serbuan yang turut disertai polis, kelmarin.
Yang Dipertua MDB, Ibrahim Mohamad berkata, seramai 12 penguat kuasa MDB bersama dua anggota polis terbabit dalam operasi selama tiga jam bermula 9 pagi di kawasan pantai berhampiran Pasir Panjang.
"Melalui siasatan dan risikan yang dilakukan, premis tersebut telah dibuka sejak bulan lalu dan dijadikan sebagai lokasi penjualan arak tanpa kelulusan atau kebenaran MDB," katanya kepada pemberita semalam.
Menurutnya, sebanyak 13 botol minuman keras turut disita daripada premis terbabit.
"Sejak pembukaan permis haram itu, pulau pelancongan ini menjadi tidak selamat hingga menyebabkan sering berlaku pergaduhan antara pengunjung yang mabuk serta kawasan persekitaran pantai menjadi kotor," katanya.
Justeru, katanya, operasi akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan Pulau Perhentian sentiasa bersih dan terhindar daripada maksiat.
No comments:
Post a Comment