Saturday, July 6, 2013

PRK Kuala Besut: TPM Umum Calon BN Selasa Depan


Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 9 Julai ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pengumuman itu akan dilakukan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Besut.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dilantik sebagai Pengarah PRK Kuala Besut. Pada Jumaat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi adalah 24 Julai.

Di Besut, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata BN menyasarkan majoriti kemenangan untuk parti itu melonjak daripada 2,434 kepada hampir 4,000 dalam PRK berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah PRK Kuala Besut yakin sasaran itu dicapai dengan semangat jentera yang bersepadu dan sokongan secara berterusan pengundi ketika kemenangan cuba dinafikan oleh pembangkang.

Apatah lagi, katanya, ketika lebih banyak kebaikan dijangka dapat dikecapi oleh rakyat, pembangkang hanya menjanjikan permainan politik yang tidak berkesudahan dan merugikan agama, bangsa dan negara.

"Pada PRK itu BN tidak akan menganjurkan program besar-besaran sebaliknya jentera parti akan menemui pengundi secara langsung," katanya kepada media selepas majliis sarapan pagi bersama penduduk di Kampung Seri Kemunting hari ini.


No comments:

Post a Comment