Abdul Aziz memeriksa peti undi ketika meninjau proses pengundian di pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut. |
Sehingga pukul 11 pagi, jumlah pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing ialah seramai 7,356 orang atau 44.49 peratus.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tinjauannya di beberapa pusat mengundi mendapati proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang tindakan provokasi oleh penyokong parti politik.
"Saya lihat penyokong parti politik bercampur gaul antara kedua-dua parti. Mereka menunjukkan poster calon masing-masing tetapi tidak melakukan provokasi antara satu sama lain.
"SPR berharap situasi ini dapat dikekalkan sehingga masa mengundi tamat pukul 5 petang ini," katanya pada sidang media di Dewan Majlis Daerah Besut, di Kuala Besut.
SPR menjangkakan kira-kira 75 peratus pengundi akan keluar mengundi pada pilihan raya kali ini. Mengulas mengenai kaedah baru penggunaan dakwat kekal, Abdul Aziz berkata pihaknya juga berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan pengundi mengenai proses itu.
Proses itu berjalan dengan baik, tidak ada dakwat yang tumpah hingga mengotorkan kertas undi.
"Kami dapati juga corak penggunaannya iaitu cara dakwat itu dicelup juga hampir seratus peratus sama...lebih baik daripada ketika mencalit di jadi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu," katanya
Seramai 16,534 pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut mula menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih wakil rakyat baru bermula pukul 8 pagi ini.
Sebanyak lapan pusat mengundi disediakan di DUN Kuala Besut.
Ini merupakan pilihan raya kecil pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar dari Barisan Nasional (BN) pada 26 Jun lalu.
PRK kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN seorang jurutera awam, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman manakala Pas meletakkan seorang kontraktor, Endot @ Azlan Yusof sebagai calon.
No comments:
Post a Comment