Wednesday, July 24, 2013

PRK Kuala Besut - Tengku Zaihan Mengundi Awal, Che Long Gagal Jadi Pengundi Pertama



Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, antara calon terawal yang menunaikan tanggunggjawab sebagai pengundi pada pilihan raya itu, pagi ini.

Bekas jurutera yang segak berbaju Melayu warna merah lengkap bersampin itu, melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, seawal jam 8 pagi.

Beliau yang diringi isteri, Siti Salbiah Osman yang juga berbaju kurung merah, bersalaman dengan Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh dan beberapa pemimpin Umno yang berada di perkarangan sekolah berkenaan.



Selepas itu, Tengku Zaihan terus memasuki tempat mengundi dan membuang undi di saluran yang ditetapkan. Selesai mngundi, beliau dengan mesra menyapa pengundi-pengundi dan orang ramai yang berada di pusat mengundi tersebut sebelum beredar ke pusat mengundi lain.

Ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk memakai baju Melayu berwarna merah, jawapannya ialah “Merah tanda berani, untuk menjadi pemimpin kita perlu berani menghadapi apa jua rintangan dan masalah yang bakal dihadapi”.

Sementara itu,Calon PAS, Endut @ Azlan Yusof yakin parti itu berupaya memperoleh kemenangan sekaligus mencipta sejarah dengan mewujudkan 'DUN tergantung' di Terengganu.

Azlan atau lebih dikenali sebagai 'Che Long' berkata, kerja keras parti itu sepanjang tempoh 12 hari berkempen memberi gambaran baik mengenai sokongan pengundi terhadap PAS.

"InsyaAllah Che Long yakin berjaya...keyakinan bermula di dalam hati, tapi semuanya bergantung kepada Allah," katanya ketika ditemui selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu di Kuala Besut.

Bagaimanapun hasrat Azlan untuk menjadi pengundi pertama tidak kesampaian apabila beliau mendapat kertas undi kedua di saluran dua bagi pusat mengundi tersebut.

Beliau membuang undi kira-kira pukul 8.05 pagi.

No comments:

Post a Comment