Tuesday, July 16, 2013

PRK Kuala Besut: Peribadi Zaihan Berupaya Cetus Kemenangan Besar

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menaruh keyakinan terhadap perwatakan dan peribadi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berupaya mencetuskan kemenangan pada 24 Julai ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, Tengku Zaihan dilihat boleh mendampingi rakyat dan pengundi di Kuala Besut dengan baik dan selesa.

"Saya berharap calon BN dengan wataknya, caranya dan senyumannya dapat memudahkan beliau mendekati pengundi di sini," katanya ketika ditemui sewaktu lawatan ke 10 rumah keluarga miskin di Kampung Lampu, semalam.

Sementara itu, UMNO Perak diberi tanggungjawab untuk menjaga Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Nangka yang mengandungi tiga cawangan termasuk Kampung Lampu.

Katanya, pendekatan yang digunakan ialah bertemu penduduk membabitkan 76 rumah di Kampung Lampu bagi memungkinkan kemenangan lebih besar berpihak kepada calon BN.

Zamri berkata dalam memberi sokongan terhadap kempen BN di PRK Kuala Besut, pendekatan berceramah secara agresif seperti maki hamun dan 'terpekik' adalah tidak perlu.

"Kita tidak akan mengadakan ceramah, tetapi lebih kepada bertanya khabar dan melawat pengundi," katanya.


No comments:

Post a Comment