Amanah Saham Darul Iman (ASDI), yang diuruskan oleh PTB Unit Trust Berhad (PUTB), anak syarikat milik penuh Permodalan Terengganu Bhd (PBT) memperoleh pendapatan RM3.88 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 April 2013.
Pengerusi PTB Unit Trust Berhad Datuk Muhatar Abdullah, dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada pemegang unit itu, berkata RM1.61 juta atau 41.49 peratus adalah pendapatan dari keuntungan jualan pelaburan saham.
Katanya RM1.61 juta dari dividen saham tersiar harga dan RM0.53 juta atau 13.66 peratus dari dividen pelaburan di pasaran wang serta RM0.13 juta (3.35 peratus) keuntungan bersih daripada perbezaan nilai saksama aset kewangan yang belum direalisasi dan selebihnya dari lain-lain pendapatan.
"Setelah ditolak perbelanjaan berjumlah RM1.49 juta dan peruntukan cukai RM0.033 juta, jumlah pendapatan komprehensif ialah RM2.36 juta."
"Keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM2.36 juta, keuntungan direalisasikan atau pendapatan yang boleh diagih ialah RM2.23 juta sementara keuntungan yang tidak direalisasikan adalah RM0.13 juta," katanya.
Beliau berkata keuntungan yang direalisasikan berjumlah RM2.23 juta atau 0.52 sen seunit adalah lebih rendah berbanding RM5.78 atau 1.36 sen seunit untuk tempoh yang sama tahun lepas.
Katanya strategi pelaburan berpandu kepada objektif pelaburan dengan mengambil kira keadaan ekonomi dan politik serta perkembangan di dalam dan luar negara yang mempengaruhi prestasi pasaran ekuiti dan pasaran bon di samping melibatkan analisa risiko.
Dalam membuat pemilihan saham, katanya penelitian akan diberikan kepada prospek pertumbuhan pendapatan, kekukuhan kewangan syarikat, nilai aset bersih, pegangan tunai, pulangan dividen serta pengurusan berwibawa.
"Sebagai sebuah tabung unit amanah berteraskan syariah, ASDI merupakan salah satu pelaburan alternatif untuk para pelabur yang menitikberatkan pulangan yang bersih dan diharuskan oleh syarak."
"Berdasarkan objektif pelaburan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, matlamat untuk memberikan pulangan yang munasabah kepada para pelabur telah berjaya dilaksanakan," katanya.
Kini, katanya tumpuan akan diberikan untuk mencapai objektif agar pertumbuhan modal juga akan turut dinikmati oleh para pelabur pada masa hadapan.
"Statistik pemegang unit sehingga 30 April 2013 ialah 24,244, dengan pemegang unit individu seramai 24,093 orang manakala bakinya 151 adalah pelabur institusi, katanya.
No comments:
Post a Comment