Sunday, July 21, 2013

Pulau Perhentian Dijangka Kekal Peti Simpanan Tetap BN


Pulau Perhentian dijangka akan terus menjadi simpanan tetap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut. Calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata keyakinan itu disandarkan pada sokongan dan reaksi positif yang diberikan penduduk selepas siri kempennya yang kedua ke pulau itu semalam.

"Saya yakin untuk menang 100 peratus di Pulau Perhentian ini dan insya-Allah tidak mustahil dengan kepercayaan yang diberikan mereka sepanjang kehadiran saya di sini," katanya kepada pemberita di pulau berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai programnya bersama masyarakat sekitar pulau terkenal itu, Tengku Zaihan berkata sambutan sangat menggalakkan, mereka bergotong-royong dan beramah mesra dengan ahli keluarganya yang turut serta dalam lawatan itu dalam usaha merapatkan hubungan silaturahim.

Tengku Zaihan, atau Abe Ku, 37, merumuskan bahawa banyak lagi program boleh dilaksanakan seperti membangunkan kawasan tadahan air dan menaiktaraf infrastruktur sukan untuk belia di pulau berkenaan.


Beliau turut melawat tiga keluarga bersaudara yang tinggal di dalam sebuah rumah kecil kerana kesempitan hidup dan berjanji akan membantu meringankan beban mereka.

Semalam Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan untuk memajukan lagi pulau itu sebagai destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara.

Ia meliputi pembinaan unit rumah kedai, jeti khas yang akan bersambung ke jalan menghala perumahan rakyat yang sedang dibina, menaiktaraf dan membina jalan yang menghubungkan jeti sedia ada dengan kawasan perkampungan di pulau ini.

Sebelum ini kerajaan negeri dilaporkan sudah meluluskan pembinaan 200 unit rumah di bawah program perumahan rakyat di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Perhentian, Zainuddin Muhammad berkata kemajuan dilaksana kerajaan BN begitu ketara dengan pendapatan bulanan penduduk meningkat hampir tiga kali ganda.

"Jika dulu, hasil laut menjadi punca ekonomi (penduduk di Pulau Perhentian), bagaimanapun ia berubah dengan menumpukan pula kepada ekopelancongan serta perniagaan," katanya.

Pulau Perhentian yang sememangnya terkenal sebagai antara pusat peranginan utama di Terengganu mempunyai 2,163 penduduk dan mempunyai 733 pengundi berdaftar.

No comments:

Post a Comment