Sunday, July 21, 2013
RM35 Juta Tambahbaik Empangan Dan Tali Air - Muhyiddin
Selepas mengumumkan kelulusan RM250 juta untuk pembaikan muara Sungai Besut demi membela golongan nelayan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sabtu, mengumumkan pula peruntukan RM35 juta untuk menambahbaik kemudahan empangan dan tali air di Pengkalan Nangka untuk golongan petani.
Projek di Pengkalan Nangka, yang merupakan sumber air utama kepada 900 hektar kawasan padi itu, dijangka berkeupayaan meningkatkan pengeluaran padi daripada empat metrik tan kepada 5.5 metrik tan melalui penanaman padi dua kali setahun.
Ketika berucap pada program himpunan warga nelayan dan peladang di Dataran Kuala Besut di Kuala Besut, Muhyiddin berkata pembelaan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu adalah satu ibadah.
"Segala yang dilakukan ini adalah digalakkan dan ia tidak bercanggah dengan agama kita," katanya.
Beliau berkata ia adalah kenyataan yang tidak tepat dan lari daripada niat sebenar kerajaan BN sekiranya terdapat pihak yang menyanggah usaha kerajaan BN itu sebagai tidak bermanfaat dan hanya untuk meraih undi menjelang pilihan raya.
"Bantuan ini satu ibadah dengan niat yang ikhlas agar rakyat dibantu dengan adil dan saksama. Kita tidak pernah bertanya saudara menyokong siapa, walaupun sebahagian sokong BN," katanya.
Mengenai projek pembaikan muara Sungai Besut bernilai RM250 juta itu, Muhyiddin berkata ia adalah bukti kesungguhan kerajaan BN untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Katanya, projek itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada golongan nelayan dan pengusaha industri pelancongan di Kuala Besut malah mampu menjadikan pekan nelayan itu kawasan pertumbuhan baharu ekonomi di Pantai Timur khasnya dalam industri berkaitan maritim.
"BN akan meneruskan agenda supaya saudara-saudari diberikan perhatian, pembelaan, bantuan dan pertolongan kerana ini bukan sahaja satu tanggungjawab kita, tapi satu ibadah yang dituntut dalam agama lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini," katanya.
Projek pembaikan muara Sungai Besut yang juga melibatkan pembinaan benteng pemecah ombak masing-masing sepanjang satu kilometer di kiri dan kanan muara Sungai Besut itu dijangka bermula awal tahun depan.
Menurut Muhyiddin, sekiranya rakyat Kuala Besut memilih calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman sebagai wakil rakyat mereka pada pilihan raya kecil kawasan itu 24 Julai ini, beliau akan dilantik sebagai pemantau kedua-dua projek itu berdasarkan kepada kelayakan dan pengalaman luasnya dalam bidang pengairan dan saliran sebelum ini.
Muhyiddin yang berada di Kuala Besut untuk membantu kempen BN sempena pilihan raya kecil DUN Kuala Besut akan bersama-sama penduduk di Pulau Perhentian Kecil pada majlis berbuka puasa pada Sabtu disusuli solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih.
No comments:
Post a Comment