Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut perlu bijak memilih wakil rakyat mereka pada pilihan raya kecil (PRK) 24 Julai ini, dan hanya memilih calon yang boleh membela nasib mereka.
Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, selaku Timbalan Pengarah PRK Kuala Besut, berkata proses memilih wakil rakyat tidak boleh dianggap mudah kerana hanya mereka yang cerdik serta mempunyai kelulusan baik akan dapat berkhidmat dengan cemerlang, jika dipilih rakyat.
"Pemimpin yang mempunyai kelulusan akan pandai memimpin kita dan akan menjaga kita sepanjang masa dengan pelbagai rancangan diatur, yang pasti tidak akan merugikan sesiapa," katanya ketika berucap kepada ibu bapa dan pelajar yang mengikuti program Kejuruteraan Perantis bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di SMK Seri Besut semalam.
Ahli Parlimen Besut itu berkata rakyat Kuala Besut masih memerlukan pembangunan yang hanya boleh direalisasi oleh pemimpin yang berkaliber dalam kalangan profesional.
Beliau berkata pemilihan Tengku Zaihan Che Ku Rahman sebagai calon BN adalah yang terbaik dan patut diberi sokongan padu oleh setiap pengundi jika mereka ingin melihat kemajuan di daerah Besut, khususnya di Kuala Besut, menyerlah dalam masa terdekat.
Rakyat tidak perlu kepada pemimpin yang hanya tahu mengkritik tetapi tidak berupaya untuk membuat sesuatu atau memberikan perancangan yang baik bagi meningkatkan kemajuan rakyat," katanya.
Turut hadir Naib Canselor UniMAP Datuk Profesor Dr Kamaruddin Hussin.
Pada program itu, Idris sempat menyaksikan Pertandingan Robotik yang disertai sembilan pasukan dari empat sekolah terpilih di Besut dan Pasukan SMKA Nurul Ittifaq, Kuala Besut muncul juara.
Pada majlis itu, Idris menyampaikan surat tawaran mengikuti pengajian di bidang kejuruteraan dan perniagaan kepada 11 pelajar dari Terengganu dan Kelantan melalui program khas pengambilan membabitkan mereka dari kalangan golongan keluarga kurang berkemampuan yang tidak terpilih dalam sesi pengambilan pertama.
Dalam perkembangan lain, beliau meminta lebih banyak institusi pengajian tinggi membantu mempertingkat tahap pendidikan di sekolah berikutan penggabungan Kementerian Pelajaran dengan Kementerian Pengajian Tinggi.
Idris turut memuji langkah beberapa universiti menjadikan beberapa sekolah di daerah ini sebagai anak angkat dalam usaha membantu guru dan pelajar dalam pelajaran, kemahiran serta ilmu pengetahuan.
No comments:
Post a Comment