Monday, July 1, 2013

Rasa Mengantuk Luar Biasa Ibu Ibarat Petanda Anak Akan Pergi Selamanya


Rasa mengantuk luar biasa yang dialami seorang ibu sepanjang hari rupa-rupanya adalah petanda beliau akan kehilangan anak lelaki buat selamanya.

Kalsom Sulong, 82, ibu kepada Abdul Rashid Mansor yang terkorban dalam nahas membabitkan konvoi motosikal berkuasa tinggi di Johor hari Ahad, berkata beliau berasa amat mengantuk sejak semalam.

"Mak Cik tidak menyangka rasa mengantuk itu rupanya petanda anak lelaki Mak Cik itu akan pergi buat selama-lamanya.

"Biasanya makcik tak pernah tidur dan rasa mengantuk pada siang hari. Tapi semalam, makcik rasa sangat mengantuk dan tak boleh buka mata," katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Permint Jaya, Chendering malam semalam.

Abdul Rashid, 48, maut dalam nahas yang turut meragut nyawa seorang lagi rakannya pada kira-kira 1 petang apabila motosikal mereka berlanggar dengan sebuah lori tangki di Kilometer 38, Jalan Johor Baharu-Mersing.

 Nahas itu turut menyebabkan tiga lagi penunggang motosikal berkuasa tinggi lain cedera.

Kalsom berkata anak bongsunya itu pergi ke Johor pada Jumaat lepas dan menantunya, yang juga isteri mangsa, Zuhariyaton Abdul Rahman, 42, serta anak mereka, Mohamad Aiman Daniel, 3, turut mengiringi konvoi berkenaan dengan menaiki sebuah kereta.

Katanya, meskipun terkejut dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada tujuh beradik itu, beliau serta keluarga tetap pasrah dan reda dengan ketentuan Tuhan. Kalsom berkata beliau mengetahui nahas itu selepas menerima panggilan daripada menantunya.

"Pada kira-kira pukul 2 petang, menantu telefon dan berkata Rashid dah tak ada, dia dah meninggal dunia dalam kemalangan," katanya.

Kalsom turut memaklumkan jenazah Abdul Rashid dijangka tibakira-kira pukul 11 malam dan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Chendering pada tengah malam semalam.

No comments:

Post a Comment