Monday, July 1, 2013
Giacopppo Tawan Peringkat Keempat, Mohd Zamri Rampas Jersi Merah
Pelumba Australia Anthony Giacopppo memperkasakan henjutan bertenaga ke garisan penamat untuk merangkul gelaran juara peringkat keempat perlumbaan berbasikal Jelajah 1Malaysia Sabtu.
Pelumba pecut pasukan Huon Salmon-Genesys Wealth Adviser berusia 27 itu mengambil masa lima jam tiga minit dan 23 saat untuk menamatkan laluan paling panjang dalam jelajah iaitu 206.3km dari Johor Baharu ke Bukit Katil di Melaka.
"Kira-kira 10km sebelum garisan penamat adalah landai tetapi saya mampu mendapat beberapa maklumat berharga mengenai keadaan laluan pada beberapa kilomter terakhir untuk mengatasi Mohd Harrif Salleh di garisan penamat.
"Perlumbaan peringkat ini sememangnya dramatik dan taktikal kerana jarak yang jauh. Bagaimanapun, semua berjalan lancar bagi diri saya," kata Giacoppo.
Mohd Harrif dari pasukan Terengganu Cycling Team kecewa dengan perlumbaan tersebut kerana terlepas peluang meraih gelaran manakala tempat ketiga disandang oleh pelumba Poland, Mariusz Weisiak daripada pasukan Matrix Powertag.
"Saya tidak gembira walapun menaiki podium. Sasaran awal untuk memenangi peringkat kedua saya di sini. Saya terpaksa berhempas pulas ketika mendaki ke garisan penamat," kata Mohd Harrif, yang berjaya mengekalkan jersi Hijau, selaku pendahulu gelaran Raja Pecut dengan 54 mata.
Beliau diekori rapat oleh pelumba negara Mohd Adiq Hussainie Othman dan pelumba Australia Paul Van Der Ploeg, masing-masing dengan 40 dan 37 mata.
Mohd Zamri, abang kepada Mohd Hariif, merampas jersi Merah (Raja Bukit) daripada pendahulu Rustom Lim dari Filipina.
Mohd Zamri kini mendahului kategori tersebut dengan mengumpul sembilan mata dikuti Rustom dengan enam mata dan Mohd Adiq Hussainie di tempat ketiga dengan empat mata. "Pasukan saya akan tetap membantu saya mempertahankan jersi Merah pada peringkat akhir .
Bagaimanapun, saya perlu melihat sebarang percubaan oleh Rustom untuk mengumpul mata," kata Mohd Zamri.
Pelumba negara Loh Sea Keong, yang mewakili pasukan OCBC Singapore Continental Cycling Team, mengekalkan jersi Kuning, selaku pelumba terbaik keseluruhan, dengan mengumpul catatan masa 16:10:24s selepas empat peringkat saingan.
"Sudah tentu pasukan saya akan menjadi perhatian untuk ditewaskan oleh pencabar lain pada peringkat akhir esok. Namum kami akan merangka strategi untuk menanganinya," kata Sea Keong yang turut mengekalkan jersi Putih (pelumba terbaik Malaysia) dan jersi Biru, selaku pelumba terbaik Asia.
Peringkat kelima dan terakhir Ahad dengan jarak 169.8km dari Bukit Katil ke Putrajaya melibatkan tiga zon pecutan di Lereh, Seremban dan Nilai serta pendakian kategori 3 di Bukit Mantin.
No comments:
Post a Comment