Sunday, July 7, 2013

SPR - PRK Kuala Besut Dijamin Lancar & Keadaan Baik


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan perjalanan proses PRK Kuala Besut dapat berlangsung dalam keadaan yang baik walaupun sebelum ini Adun Pas Terengganu membangkitkan isu pemilihan tarikh yang tidak sesuai kepada pengundi.

Timbalan SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR telah memikirkan pelbagai sudut sebelum menetapkan tarikh dalam setiap proses pilihan raya.

Menurutnya, isu tarikh dan hari tidak menimbulkan masalah kerana ia tidak akan memakan masa yang panjang ataupun melibatkan jumlah pengundi yang ramai.

“Sekarang ini proses penamaan calon tak ada bantahan. Insya-ALLAH ia hanya memakan masa tak akan melebihi pukul 11 pagi pada hari Jumaat itu.

“Saya bagi jaminan, paling lewat pun pukul 11 pagi, tapi saya tak fikir ia akan mengambil masa yang lama sehingga terganggu solat Jumaat.

“Kalau hari pengundian itu, kita terpaksa segerakan. Kalau kita lakukan selepas hari raya pun nanti semua orang tertumpu pada PRK. Jadi elok kita segerakan setelah memikirkan semua perkara,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Beliau juga menambah, PRK di Dun Kuala Besut yang melibatkan pengundi sebanyak 18 ribu itu tidak akan akan memberi sebarang masalah.

“Keluarlah mengundi pada hari tersebut,” katanya.

Semalam, mengikut laporan Sinar Harian, Pas menganggap SPR tidak sensitif terhadap warga Terengganu berhubung penetapan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi PRK kerusi Dun Kuala Besut.

Pengarah PRK Pas Kuala Besut, Satiful Bahri Mamat berkata, SPR seolah-olah tidak ambil kira persekitaran di negeri ini apabila hari penamaan calon dan pengundian, masing-masing jatuh pada Jumaat dan Rabu. Beliau mempersoalkan pemilihan tarikh itu kerana kebiasaan pemimpin Pas setempat mengadakan kuliah agama pada hari Jumaat, begitu juga Rabu yang dilihat menyukarkan pengundi luar pulang mengundi. 

“Hari penamaan calon tidak pernah berlaku pada Jumaat. Di Terengganu, Jumaat hari cuti dan pada hari itu kita menghadiri kuliah, belajar ilmu agama

 Ini menunjukkan SPR tidak sensitif, kenapa tidak buat hari Sabtu? Ini seolah-olah mahu halang calon pergi kempen

 “Begitu juga hari pengundian pada hari Rabu yang juga hari bekerja.

Keadaan ini akan menyukarkan pengundi luar untuk pulang Terengganu. Adakah kerajaan negeri mahu halang pengundi luar pulang,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad juga turut mengingatkan penyokong dan pemimpin dapat melakukan kempen pada bulan Ramadan dengan berhemah.

“Kita harap cara dan sikap berkempen nanti dapat dilakukan dengan cara yang baik.

“Jangan kita ikutkan kata hati sehingga pahala puasa kita berkurangan. Pemimpin perlu mengingatkan penyokong supaya lebih berhemah pada kempen kali ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment