Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menolak cadangan menteri supaya proses pengiraan undi PRK Kuala Besut disiarkan secara langsung menerusi RTM pada 24 Julai ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, keputusan itu dibuat kerana pada ketika ini, ejen pilihan raya daripada parti bertanding telah diberikan kebenaran untuk berada dalam bilik pengiraan undi.
Beliau menambah, sebagai sebuah badan yang bebas, SPR perlu berlaku adil kerana jika RTM diberikan kebenaran, pihak lain juga akan menuntut perkara yang sama.
"Sehubungan itu, SPR telah membuat keputusan bahawa merakamkan proses pengiraan harus diuruskan oleh SPR sendiri dan bukan pihak lain.
"Untuk pilihan raya kecil Kuala Besut, SPR telah berbincang dan membuat keputusan bahawa ia tidak perlu ada rakaman," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kementerian itu akan berbincang dengan SPR dalam masa terdekat untuk membenarkan RTM menyiarkan proses pengiraan undi pada pilihan raya kecil Dun Kuala Besut.
Beliau berkata usaha itu bagi membolehkan seluruh rakyat Malaysia menyaksikan proses penuh pilihan raya yang dijalankan dengan telus dan adil.
No comments:
Post a Comment