Friday, July 5, 2013

Sukma Ke-16 Pamer Inisiatif Negeri Bangunkan Sukan Bukan Pilihan - Zolkples



Penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 yang sedang berlangsung kini telah mempamerkan komitmen negeri mempertingkatkan persiapan dalam acara sukan bukan pilihan, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

"Dari sudut positif, penganjuran Sukma kali ini menunjukkan bahawa negeri-negeri kini sudah semakin serius menbangunkan acara sukan bukan pilihan (acara sukan yang tidak dipilih oleh tuan rumah Sukma).

"Jika sebelum ini, tumpuan sentiasa diberikan kepada jenis-jenis sukan popular seperti olahraga, renang, bola sepak dan sebagainya. Kita dapat lihat dengan pertambahan jumlah penyertaan dalam semua jenis sukan yang diadakan kali ini," katanya hari ini.

Menurut Zolkples, kebanyakan sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukma kali ini pencapaian atlet tidak boleh diukur dari segi masa atau jarak, sebaliknya ia lebih bersifat subjektif dan acara berpasukan. 

"Kalau kita lihat dari segi taburan pingat pula, ia memperlihatkan tiada dominasi kontinjen tertentu sebaliknya peluang adalah lebih terbuka.

"Jika kita lihat kepada kontinjen Terengganu pada Sukma tahun lepas, pada tiga hari terakhir Sukma mereka sudah boleh menarik nafas lega kerana mendahului negeri-negeri lain.

Berbeza dengan Sukma kali ini, kita dapat lihat setiap negeri khususunya mempunyai peluang untuk muncul sebagai juara keseluruhan," katanya.

Temasya Sukma ke-16 akan menutup tirainya Ahad ini dan setakat ini, Terengganu mengungguli kedudukan pingat dengan 17 pingat emas, 11 perak dan sembilan gangsa.

Sementara Wilayah Persekutuan dan Selangor mengekori dengan masing-masing mendapat 12-11-19 dan 12-10-21.

Sebanyak 39 pingat emas ditawarkan esok dan kontinjen seperti Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Selangor dijangka akan bersaing hebat merebut pingat emas yang ditawarkan.

Daripada jumlah itu, acara Silambam menawarkan pingat emas terbanyak iaitu 13 pingat, sementara acara Muay Thai, yang pertama kali dipertandingkan dalam temasya Sukma, menawarkan 12 pingat emas.

No comments:

Post a Comment