Malaysia dijangka dapat meningkatkan pengeluaran minyak mentah daripada lapangan-lapangan minyaknya yang semakin matang menerusi teknologi 'Enhanced Oil Recovery' (EOR) menggunakan kepakarannya dalam kejuruteraan petroleum.
Kerja-kerja sudahpun bermula untuk melaksanakan EOR di lapangan minyak Tapis yang terletak lebih kurang 200 kilometer dari pesisir Terengganu dan mengeluarkan minyak mentah 'extra-light' bersama kandungan sulfur yang kurang.
Tapis merupakan salah sebuah daripada tujuh lapangan minyak yang telah matang dan dikenalpasti oleh ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (EMEPMI) serta Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) untuk dibangunkan semula di bawah kontrak perkongsian pengeluaran selama 25-tahun yang dimeterai pada 2009.
EOR merupakan satu pencapaian penting bagi sektor kejuruteraan negara kerana syarikat-syarikat tempatan seperti SapuraKencana Petroleum Bhd, dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) masing-masing terbabit dalam fabrikasi 'jaket' serta dek yang membabitkan kerja kejuruteraan berat.
Ia juga merupakan projek EOR luar pesisir terbesar di Asia Tenggara yang dianggap tepat pada masanya dalam melanjutkan tempoh hayat pengeluaran lapangan-lapangan minyak Malaysia yang semakin berusia.
Riwayat Baru Bagi Lapangan Minyak Lama
Menerusi EOR, yang juga dikenali sebagai proses pengeluaran peringkat ketiga , bendalir termasuk air dipam masuk di bawah tekanan tinggi ke dalam telaga-telaga pengeluaran untuk memaksimum pengeluaran minyak.
Ketua Program EOR Bahagian Teknologi Penerokaan dan Pengeluaran Petronas Dr Nasir Darman berkata EOR merupakan satu proses canggih dan memerlukan pelaburan besar serta teknologi yang berkos tinggi.
"Bagaimanapun EOR tidak boleh dilaksanakan di semua lapangan minyak. Petronas sebagai pihak bertanggungjawab bagi sumber petroleum negara sedang mengkaji lapangan-lapangan minyak yang sesuai untuk melaksanakan teknologi ini," katanya
Sebagai contoh Tapis dianggap sebagai sebuah lapangan minyak yang telah matang, yang memulakan pengeluaran pada 1978 dan sehingga ini telah mengeluarkan 400 juta tong minyak mentah.
Seperti mana-mana telaga minyak baru, tekanan minyak di Tapis begitu kuat pada awalnya yang memudahkan proses pengeluaran hidrokarbon tetapi dengan peralihan masa tekanan berkurang dan usaha untuk memaksimum pengeluaran adalah mencabar.
EOR Tapis Dalam Proses Pelaksanaan
Pelaksanan EOR memerlukan banyak kerja kejuruteraan berat termasuk fabrikasi jaket gergasi Tapis R, satu struktur menara berkaki lapan setinggi 70 meter, yang difabrikasi sepenuhnya di tapak SapuraKencana Petroleum Sdn Bhd di Lumut selepas ditawarkan kontrak oleh EMEPMI pada Januari 2012.
Tapis R, yang jumlah beratnya adalah 5,500 tan metrik, merupakan jaket terbesar yang pernah ditempah oleh EMEPMI.
Eksekutif Projek EMEPMI Douglas C. Smith berkata jaket lapan kaki itu akan ditambat di dasar Laut China Selatan pada kedalaman 64 meter dan ia akan menampung satu dek bersepadu seberat 18,000 tan metrik di atasnya.
Dek itu yang dibina di tapak Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd di Pasir Gudang akan menyediakan ruang bagi peralatan pemampatan gas, kemudahan rawatan air dan mengepam air bawah tekanan, jentera pengeluaran-pemprosesan, sistem utiliti serta kuarters kediaman bagi 145 orang kakitangan.
"Kami akan memasang dek menerusi kaedah 'float-over'
Keseluruhan dek itu yang dibina di Pasir Gudang akan dimuat naik atas sebuah kapal khas.
"Kapal itu kemudian akan berlabuh di atas jaket dan akan menempatkan dek itu di atas kepala jaket sebelum beralih," katanya.
Keselamatan Dan Manfaat
Smith berkata cabaran terbesar bagi EOR adalah untuk mencari teknik EOR yang sesuai serta lokasi di mana EOR boleh dilaksanakan.
Jaket itu kini dalam perjalanan ke tapaknya di Tapis dan merupakan satu pencapaian besar tersendiri memandangkan ia membabitkan lebih daripada 600 orang pekerja di kemuncak aktiviti fabrikasi.
Menurut Pengurus Projek EOR Tapis Zaba Abdul Rahim ia satu pencapaian yang membanggakan memandangkan fabrikasi jaket ini membabitkan 800,000 jam kerja tanpa sebarang kehilangan masa oleh kerana kemalangan tempat kerja.
"Kami bangga kerana struktur itu dibina tanpa sebarang insiden kehilangan masa walaupun bilangan besar pekerja yang terbabit dan jumlah jam kerja yang banyak diperlukan," katanya.
EOR Tapis merupakan antara 12 Projek Permulaan (Entry Point Projects) yang dikenalpasti oleh Makmal NKEA bagi Minyak, Gas dan Tenaga pada 2010 dalam mewujudkan peluang-peluang perniagaan serta hasil.
No comments:
Post a Comment