Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Isnin mengajak umat Islam, khususnya di Terengganu agar memuliakan bulan Ramadan sehingga ke penghujungnya.
Sehubungan itu, titah baginda, segala amalan yang dilakukan harus berterusan daripada awal sehinggalah berakhirnya Ramadan.
Puasa yang sebenarnya adalah pengisian hari-hari sepanjang Ramadan dengan amalan kebajikan yang padat dan sarat dengan niat yang tulus ikhlas semata-mata kerana Allah dan keredaan Illahi, titah baginda dalam perutusan sempena Ramadan, di Kuala Terengganu, kelmarin.
Titah Sultan Mizan lagi, Ramadan adalah bulan untuk mentarbiah diri bagi mengetepikan tuntutan hawa nafsu dan diisi dengan pelbagai amalan sunat selain menjalani ibadah puasa.
Baginda bertitah puasa yang sebenar bukan sekadar menahan makan dan minum pada siang hari, tetapi merangkumi penjagaan seluruh anggota badan daripada melakukan larangan dalam agama.
"Seorang yang berpuasa hendaklah menjaga mata, telinga, lidah, kaki, serta tangan daripada larangan-larangan Allah S.W.T," titah baginda.
Baginda juga mengajak umat Islam menadah tangan memanjat doa ke hadrat Illahi agar kesejahteraan yang dinikmati sekarang berkekalan.
No comments:
Post a Comment