Wednesday, July 10, 2013

Jakim Lancar Pensijilan Halal Pengangkutan & Penggudangan


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam melancarkan skim pensijilan halal logistik bagi memperluaskan penggunaan sijil tersebut dalam industri halal negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, bahagian Hab Halal Jakim kini memperluaskan skop sijil halal dengan memasuki sektor pengangkutan dan penggudangan bagi memastikan barangan keperluan umat Islam diangkut mengikut piawaian halal yang ditetapkan.

"Dengan adanya skim pensijilan halal Malaysia bagi kategori logistik, ia akan meningkatkan lagi kepakaran, integriti dan kredibiliti negara untuk menjadi peneraju industri pensijilan halal di peringkat antarabangsa,” katanya.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha bagi merasmikan Konvensyen Pematuhan Halal Kebangsaan 2013 dan melancarkan sistem pensijilan halal skim logistik serta sistem pengurusan jaminan halal di Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusoff dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Sehubungan itu, Jamil Khir berkata syarikat pengangkutan bertaraf multinasional boleh memohon pensijilan halal melalui sistem atas talian e-halal bagi skim logistik bermula 1 Julai lalu bagi kategori pengangkutan dan penggudangan.

No comments:

Post a Comment