Tuesday, July 2, 2013

Syed Ali Cabar PAS BOikot PRK Kuala Besut


Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mencabar Pakatan Rakyat memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu sebagaimana disarankan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, pakatan pembangkang perlu membuktikan kepada rakyat bahawa mereka tidak berbohong berhubung perkara tersebut.

"Guan Eng kata nak boikot PRK Kuala Besut kononnya atas isu penggunaan dakwat kekal, maka saya cabar pakatan pembangkang terutama PAS supaya boikot pilihan raya kecil berkenaan," tegasnya.

Syed Ali yang juga Setaiuasaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan turut mengingatkan pakatan pembangkang tidak hanya menjadikan isu penggunaan dakwat kekal sebagai provokasi politik dalam usaha mereka menagih simpati pengundi DUN Kuala Besut

 "Kita nak tengok, apakah PAS berani dan sanggup menurut 'perintah' DAP kerana kerusi DUN berkenaan majoritinya pengundi Melayu dan lazimnya pula akan berlaku pertandingan membabitkan calon UMNO dan PAS" ujarnya.

Sebagai pemimpin politik katanya, mereka harus berpegang kepada janji dan bukannya berdolak-dalik dengan melontarkan pelbagai alasan apabila terasa kenyataan mereka akhirnya memakan diri sendiri.

Beliau mengulas laporan utama akhbar Utusan Malaysia Isnin yang memetik kenyataan Guan Eng dalam satu majlis di Kulaijaya, Johor semalam yang mencadangkan PAS untuk memboikot PRK DUN Kuala Besut ekoran isu dakwat kekal dalam PRU-13 yang dakwanya tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Persoalan ini timbul apabila Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyatakan cadangan Guan Eng itu akan diteliti dan PAS akan merujuk kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang sebelum mengambil keputusan sama ada bertanding atau memboikot pilihan raya kecil tersebut.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong selepas penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru berair pada 26 Jun lalu.

Syed Ali menambah, pakatan pembangkang sememangnya wajar memboikot PRK Kuala Besut kerana selama ini pun mereka mendakwa SPR tidak telus mengendalikan proses pilihan raya di negara ini.

"Mereka tuduh SPR tak adil dan tak telus, maka itu saya minta parti pembangkang terutama PAS supaya jangan meletakkan calon mereka pada PRK DUN Kuala Besut, kita nak tengok sejauhmana beraninya mereka berbuat demikian," katanya.

Bagaimanapun beliau yakin isu memboikot PRK DUN Kuala Besut itu sekadar sandiwara pembangkang sebagaimana mereka pernah berlakon sebelum ini bahawa akan memboikot sidang pertama Dewan Rakyat tetapi akhirnya kesemua mereka hadir dan mengangkat sumpah di Parlimen.

Katanya lagi, adalah terlalu 'bodoh' bagi pemimpin PAS untuk mengikut telunjuk DAP supaya memboikot PRK Kuala Besut sedangkan mereka sebenarnya mengharapkan kepada kemenangan untuk merampas semula kerusi berkenaan daripada cengkaman UMNO.

"Saya tidak fikir pemimpin PAS Terengganu seperti Datuk Seri Haji Hadi Awang akan bertindak bodoh dengan memulau pilihan kecil itu hanya semata-mata disebabkan perintah daripada DAP," tegasnya.

No comments:

Post a Comment