Tuesday, July 2, 2013

Peniaga Nasi Lemak Raih Pingat Emas Kalahkan Peserta Terengganu

Atlet judo negeri Perak Nurul Hawa Saharuddin tidak menyangka mampu meraih pingat emas pertama di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 selepas berehat dua tahun apabila gagal merangkul sebarang pingat pada edisi Terengganu 2008 dan Melaka 2010.

Nurul Hawa, 20, mengungguli acara wanita kategori berat badan melebihi 70 kilogram apabila mudah menumbangkan atlet Terengganu Noor Asnida Abdul Razak dengan teknik 'Yuko' dalam pertarungan yang berlangsung selama lima minit.

Pingat gangsa bagi acara itu dikongsi atlet Wilayah Persekutuan Rebecca Yong Chui Yen dan Noor Hanani Subash Hassan dari Pulau Pinang.

"Pada mulanya, saya tidak yakin untuk masuk ke final kerana telah lama meninggalkan sukan judo, namun dengan sokongan keluarga dan rakan sepasukan, saya mendapat suntikan tenaga baharu untuk tewaskan lawan," katanya semalam.

Nurul Hawa, yang kini berniaga nasi lemak bersama keluarga, berkata kejayaan itu cukup bermakna kerana ini adalah SUKMA terakhir buat dirinya.

"Sekiranya tidak dilamar untuk menjadi atlet kebangsaan, saya akan terus berniaga nasi lemak namun jika diberi peluang, saya berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh," katanya.

Beliau berkata impiannya sejak dahulu adalah untuk bergelar atlet kebangsaan seperti yang diidam atlet lain.

No comments:

Post a Comment