Sunday, July 7, 2013

Terengganu, T-Team Kekal Bersaing Di Liga Super Musim Depan

Pemain Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha dikasari pemain Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, semalam.

T-Team kekal beraksi dalam Liga Super musim depan setelah seri 2-2 dengan Terengganu di Stadium Ismail Nasiruddin Shah semalam.

Keputusan itu sudah cukup untuk menyelamatkan T-Team daripada tersingkir ke Liga Perdana setelah Felda United, yang turut menang ke atas pasukan tercorot, Negeri Sembilan bagaimanapun terpaksa mengalah apabila kelebihan gol memihak kepada T-Team.

Dalam perlawanan semalam, T-Team terlebih dahulu menemui sentuhan jaringan apabila pemain import Damir Ibric yang meledak menerusi tendangan percuma luar kotak penalti pada minit ke-12.

Bagaimanapun, Mohd. Nasril Izzat berjaya menyamakan kedudukan untuk Terengganu apabila bijak memanfaatkan bola lorongan pemain import, Effa Owona pada minit ke-36.

Masuk babak seterusnya, Terengganu terus menggandakan asakan sebelum berjaya memperolehi gol kedua menerusi pemain gantian, Mohd. Fakhrurazi Musa pada minit ke-51.

Pun begitu, gol tersebut hanya bertahan untuk sembilan minit apabila T-Team kembali menyamakan kedudukan menerusi Ahmad Syamim Yahya. Kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan kedua- dua wakil Terengganu itu kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

Selepas tiga musim, Felda United akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super apabila gagal memintas kedudukan T-Team walaupun menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Walaupun, penyerang Felda, Rudie Ramli berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 namun tiga mata yang dikutip itu tidak membawa sebarang makna. Rusdi sebelum itu menjaringkan gol pertama pada minit ke-16 sebelum disamakan oleh pemain veteran Negeri Sembilan, Eddy Helmi pada minit ke-52.

Juara Piala FA, Kelantan pula mengalahkan juara Liga Super 2013, Lions XII 2-0 pada perlawanan penutup liga musim ini di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baharu, malam semalam.

Gol Kelantan dijaringkan oleh kapten pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit kelima menerusi sepakan sudut cantik dan Dickson Nwakaeme pada minit ke-58.

Selangor pula memastikan tempat kedua liga menjadi milik mereka walaupun terikat seri 1-1 menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi 40 mata, namun skuad Gergasi Merah berada di tangga kedua liga berdasarkan perbezaan gol.

 Pada perlawanan di Johor Baharu itu, penyerang import Johor DT, Leonel George Nunez membuka tirai jaringan pada minit ke-22 sebelum Francis Forkey Foe menyamakan kedudukan untuk Selangor menerusi sepakan percuma pada minit ke-51.

Keputusan seri itu turut membolehkan Selangor mengiringi Kelantan selaku wakil Malaysia dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), musim depan.

Penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel pula muncul wira pasukan Perak apabila jaringan penaltinya pada minit ke-79 sudah memadai untuk mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban.

Terdahulu, pemain ATM, Mohd Hafizi Amiruddin diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan pada minit ke-76 kerana mengasari pemain Perak.

Di Stadium Shah Alam, Pahang mencatatkan kemenangan tipis 5-4 ke atas pasukan tuan rumah, Selangor PKNS FC.

No comments:

Post a Comment