Sunday, July 7, 2013

PDNKK Pantau Harga Barang Sepanjang PRK KUala Besut

Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) akan memantau harga barangan dan makanan sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, 24 Julai ini. 

Pengarah PDNKK Terengganu Shamsul Badrein Mohsein berkata pihaknya akan menghantar 30 pegawai penguatkuasanya ke kawasan itu untuk memastikan peniaga tidak menaikkan harga sesuka hati dan mengambil kesempatan sepanjang PRK itu.

"PDNKK memberi amaran kepada peniaga-peniaga di Kuala Besut agar tidak sesekali menaikkan harga barangan, terutama harga makanan tanpa sebab yang munasabah.

"Jika pemeriksaan mendapati kenaikan harga barangan berlaku, peniaga akan diberi notis tunjuk sebab dan jika alasan yang diberi tidak wajar, tindakan akan diambil ke atas mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan harga barangan di Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu semalam.

Selain PRK di Kuala Besut, PDNKK juga akan memantau semua harga barangan di lokasi tumpuan orang ramai di seluruh negeri menjelang Ramadan.

"Kesemua 81 pegawai penguatkuasa serta 75 pegawai pemantau harga telah diarah menjalankan pemantauan di seluruh Terengganu. Skim kawalan harga musim perayaan akan bermula 1 Ogos selama 2 minggu," katanya.

No comments:

Post a Comment