Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan perkhidmatan hospitaliti melalui rangkaian terbarunya TH Hotel & Convention Centre Terengganu di Gong Badak di Kuala Terengganu, dengan menawarkan kelainan dengan sepenuhnya mematuhi konsep pematuhan syariah.
Hotel Tabung Haji tersebut akan dibuka secara rasminya hari ini.
Pengurus Besar TH Hotel di Kuala Terengganu, Malizan Zakaria berkata hotel itu yang buat masa ini masih belum beroperasi akan menampung jemaah, terutamanya dari Wilayah Pantai Timur melaksanakan haji setiap tahun, dan terbuka kepada orang ramai di luar musim haji.
"Bagi memperkenalkan hotel baru ini, kami membuat promosi untuk bilik, iaitu pada harga serendah RM180 untuk bilik superior dan deluxe serta juadah berbuka sempena bulan Ramadan ini.
"Harga ini berserta dengan sahur atau sarapan pagi," katanya Isnin lalu.
Ia menawarkan 182 bilik yang luas dan selesa, yang terdiri dari bilik superior, deluxe, keluarga, suite dan apartmen serta juga bilik untuk orang kurang upaya (OKU).
Malizan berkata pihaknya akan turut memperkenalkan promosi Bufet Ramadan di Restoran Lagenda sepanjang bulan Ramadan ini dengan menyediakan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa.
"Restoran berkenaan mampu memuatkan seramai 150 dalam satu-satu masa. Harga Bufet Ramadan di sini adalah RM59 untuk dewasa dan RM41 untuk kanak-kanak."
"Bagi setiap pembelian Bufet Ramadan, RM1 daripada bayaran akan didermakan kepada rumah anak-anak yatim," katanya.
Bagi menampilkan kelainan untuk penampilan pertama hotel ini, pihak hotel juga akan membawa hidangan istimewa dari Timur Tengah sempena bulan Ramadan iaitu BBQ Kibas dan Nasi Mandy, bermula dari hari ketiga Ramadan sebagai tarikan berterusan.
Bagi memberi keselesaan yang berterusan, katanya para pengunjung juga disediakan kemudahan surau yang luas untuk solat Maghrib bagi umat Islam yang menjamu selera berbuka puasa.
Hotel yang terletak 12 kilometer dari Bandaraya Kuala Terengganu dan satu kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ini dilengkapkan dengan pusat konvensyen, ruang dewan persidangan serta dewan bankuasi serba guna yang mampu memuatkan 3,000 orang pada satu-satu masa.
Menepati ciri hotel pematuhan syariah, TH Hotel & Convention Centre Terengganu yang dibina di kawasan seluas 3.2 hektar dengan kos hampir 70 juta juga menyediakan kolam renang tertutup untuk wanita, taman air kanak-kanak serta beberapa kemudahan lain.
Untuk mengambil keberkatan sebagai hotel yang baru beroperasi, sempena Ramadan ini, TH Hotel & Convention Centre Terengganu juga akan menjemput anak-anak yatim dan orang cacat penglihatan untuk satu jamuan majlis berbuka puasa.
Hotel ini dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh TH iaitu TH Properties Sdn Bhd dan akan digunakan untuk urusan operasi penerbangan haji bagi jemaah dari Terengganu, Kelantan serta Pahang secara terus ke Jeddah dan Madinah tanpa perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
No comments:
Post a Comment