Sunday, July 28, 2013
Tiga Terbunuh Dalam Kemalangan Di Kampung Bintang
Seorang lagi mangsa kemalangan di antara sebuah Volkwagen Golf dengan Toyota Vios di kilometer 84.5 Jalan Kuala Terengganu- Kota Baharu Jumaat meninggal dunia, semalam menjadikan jumlah maut dalam kejadian seramai tiga orang semuanya.
Mangsa dikenali sebagai, Nik Rafizan Nik Muhamad, 28, berasal dari Jalan Telipot, Kota Baharu yang bertugas sebagai doktor gigi di Klinik Pergigian, Kampung Raja, Besut.
Mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios itu meninggal dunia ketika sedang diberikan rawatan di Hospital Daerah Setiu.
Manakala rakannya Nur Elina Abdullah, 25, yang berasal dari Kampung Masjid, Kota Baharu yang juga seorang doktor gigi di Klinik Kesihatan Pasir Akar, Hulu Besut, kini dirawat di Hospital Sutanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Dalam kemalangan berkenaan,kira-kira jam 12 tengah hari, semalam, mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta jenis Volkswagen Golf, Mohd Zuhairi Jusoh dan penumpang hadapan, Nik Zul Ehsanudin Mohamad, masing-masing berumur 23 tahun serta berasal dari Kampung Pengkalan Nyireh, Besut.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Abd Rahman Raja Mohamad berkata, kereta dinaiki dua wanita terbabit dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu.
Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Mohd Zuhairi yang datang dari arah Kota Bharu dikatakan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan keretanya bertembung dengan kereta dipandu Nur Elina.
“Pemandu dan penumpang kereta Volkwagen Golf meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya kepada pemberita semalam.
Difahamkan, kedua-dua wanita terbabit berasal dari Kota Bharu dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu.
Manakala Mohd Zuhairi yang pernah beberapa kali mewakili negara dalam kejohanan tomoi bersama rakan karibnya dalam perjalanan dari Jertih ke Cherating.
Abd Rahman berkata, kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
No comments:
Post a Comment