Sunday, July 14, 2013

TPM: Rumah 'Durian Runtuh' Untuk Penduduk Kuala Besut


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengambil kesempatan berkempen pada hari kedua pilihan raya kecil DUN Kuala Besut apabila merasmi majlis pecah tanah untuk pembinaan Pangsapuri Mampu Milik 4 Tingkat di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut.

Pangsapuri yang bernilai RM 10.35 juta itu mempunyai 72 unit rumah tiga bilik. Perumahan itu disediakan khususnya kepada penduduk di Pengkalan Atap, Besut yang dilanda di air pasang besar menyebabkan hakisan pantai dan membahayakan keselamatan mereka memandangkan ombaknya melepasi atap rumah. 

Muhyiddin dalam ucapan perasmian itu menganggap pembinaan yang dibuat oleh kerajaan Terengganu sebagai 'durian runtuh' apabila memetik ucapan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebelum itu yang menyatakan pangsapuri itu "mungkin diberi percuma", memandangkan mangsa tidak berkemampuan untuk memiliki dan membayarnya.

"Saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh MB tadi. Mungkin nak bagi percuma kot. "Ini agak istimewa, kumpulan yang terpaksa dipindahkan dari tepi laut dilambung ombak besar dan berlaku hakisan... Ini satu durian runtuh dan kita perlu mengucap syukur kepada Allah SWT. "Ini inisiatif yang dilaksanakan.

Dasar kita tidak membeza-bezakan orang miskin. Kita tidak abaikan orang susah, yang tidak terbela. Itu bukan dasar BN.

"Kalau ada pihak atau kumpulan tertentu kata dasar BN tidak selaras dengan kita nak cabar kerana, (dasar) perumahan adalah tuntutan agama, kerja amal dan diiktiraf oleh Islam," katanya.

Menurutnya lagi, soal kebajikan rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak bercanggah dengan Islam, malah Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempertikaikan kerja-kerja amal yang dilaksanakan oleh kerajaan.

No comments:

Post a Comment