Sunday, July 14, 2013

PRK Kuala Besut - Dua Calon Sepakat Tolak Serangan Peribadi


Bina jambatan silaturahim dan tolak serangan peribadi”. Itu antara pendekatan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, pada kempen PRK Dun Kuala Besut.

“Kita tidak mahu dan tidak akan serang orang lain,” kata Tengku Zaihan yang menyifatkan serangan peribadi terhadap pihak lawan tidak perlu dan hanya membuang masa.

Beliau berkata, sebaliknya perkara lebih penting ialah turun padang dan mendampingi masyarakat terutama melalui program berbuka puasa, solat Tarawih dan program kemasyarakatan lain.

Calon Pas, Endut@ Azlan Yusof turut berharap tidak wujud kempen menjurus ke arah serangan peribadi calon atau bersifat tohmahan, sebaliknya kedua-dua pihak perlu mengambil pendekatan ‘gentleman’.

“Kita tolak kempen berunsur peribadi, sebaliknya tumpu kepada parti, jadi saya harap kita semua (Pas dan BN) bersikap 'gentleman', apatah lagi PRK ini diadakan dalam bulan puasa, jadi tidak sepatutnya begitu.

“Bagaimanapun, saya bersedia hadapi apa sahaja tohmahan yang akan dilemparkan kepada saya sepanjang berlangsungnya kempen nanti. Janji kita tidak buat benda salah dan terserah kepada orang untuk menilai kita bagaimana," katanya.

Che Long juga turut merayu pengundi supaya memberi peluang kepada Pas menang di Dun Kuala Besut bagi memastikan lebih banyak perubahan dan pembangunan akan dilaksanakan.

Tengku Zaihan pula berkata, BN akan memberi tumpuan kepada isu kemiskinan, nelayan, petani dan pelbagai isu tempatan lain.

Selain itu, berdampingan dengan pengundi muda juga perlu kerana suara dan aspirasi mereka penting dalam mencorak kemajuan di kawasan sekitar yang menuntut kerjasama dan perancangan semua pihak.

“Saya rasa peluang saya untuk menang memang ada dan sangat tinggi.

Jentera dan saya sendiri akan terus bekerja habis-habisan untuk memenangi hati pengundi dan masyarakat di sini,” katanya.

Che Long pula semaalam mengakui pernah menjadi ahli Umno dan memegang jawatan di peringkat pemuda cawangan dalam parti itu ketika zaman muda, sebelum membuat keputusan menyertai Pas pada 1997 hingga kini.

Bagaimanapun, Azlan atau lebih mesra dengan panggilan Che Long enggan memanjangkan isu berkenaan, sebaliknya menyifatkan penyertaan itu ketika zaman ‘tidak cerdik’ dan ketika itu juga, tidak ramai penduduk di sekitar rumahnya menjadi ahli Pas.

“Tidak payah kiralah (zaman sertai Umno) kerana ketika itu orang Pas di kampung saya hanya lapan orang sahaja. Betul saya pernah sertai Umno tapi itu dulu, sekarang saya sudah sertai Pas dan ramai orang muda turut memberikan sokongan kepada saya (Pas),” katanya.

Menurut Che Long lagi, sejarah penyertaannya dalam Umno juga dilihat dari sudut positif, terutamanya bagi menarik rakyat di kawasan berkenaan untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut.

No comments:

Post a Comment