Monday, July 1, 2013

Umno Kelantan Bantu BN Terengganu Kekalkan DUN Kuala Besut

Umno Kelantan akan membantu Umno Terengganu dalam memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu kekal di tangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN itu nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau telah mengarahkan Umno Bahagian Pasir Puteh, yang merupakan daerah jiran, supaya segera turun padang membantu jentera pilihan raya BN di DUN itu.

"Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman yang merupakan ADUN Semerak adalah bekas guru di Kuala Besut dan beliau ada pengaruh di situ dan saya sudah minta Umno bahagian itu untuk segera membantu.

"DUN Kuala Besut ini merupakan `anak angkat' saya, sudah tentu saya mahukan Kuala Besut ini terus kekal dipertahankan BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung kali pertama Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Cawangan Kelantan kelmarin.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pada Selasa lepas akibat kanser paru-paru.

Allahyarham merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri. Pada pilihan raya umum ke-13, Allahyarham mempertahankan kerusi DUN itu dengan mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.


No comments:

Post a Comment