Wanita Barisan Nasional (BN) akan memastikan calon parti gabungan itu menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut 24 Julai ini.
Malah, Ketua Pergerakan Wanita Umno yang juga Ketua Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berharap majoriti itu akan melebihi keputusan pilihan raya umum ke-13.
Dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam beliau berkata semangat dan komitmen Wanita BN berada di tahap tertinggi dan beliau sendiri akan menentukan Gerak Kerja Jalinan Rakyat Wanita BN bagi PRK Kuala Besut berjalan lancar.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, seorang jurutera ditentang calon PAS, Endot@Azlan Jusoh, 48, seorang ahli perniagaan.
Sementara itu, Shahrizat dan Exco Pergerakan Wanita Umno turut merakamkan ucapan tahniah kepada 27 orang Setiausaha Politik menteri Kabinet yang dilantik baru-baru ini.
Bagaimanapun, mereka berpendapat sudah tiba masanya golongan wanita turut dilantik ke jawatan itu.
"(Ia) selaras dengan hasrat kerajaan BN untuk memperkasakan wanita khususnya di bidang politik dan di tempat-tempat membuat keputusan," katanya.
No comments:
Post a Comment