Monday, July 15, 2013
Puteri Kerah 1,000 Ahli Perkasa Gerak Saraf Jentera BN
Puteri Umno Terengganu mengerahkan 1,000 ahlinya berkampung di Kuala Besut bagi memperkasakan gerak saraf parti untuk memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal milik BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 24 Julai ini.
Ketuanya, Puan Nordiana Shafei, berkata semua Puteri dari DUN, Bahagian Besut dan juga negeri membantu melancarkan gerak saraf jentera parti sepanjang dua minggu berkempen menerusi sistem angkat sebaik sahaja penamaan calon Jumaat lalu.
“Puteri DUN Kuala Besut sendiri dibantu oleh Puteri Bahagian Besut, Puteri bahagian lain seluruh Terengganu dan negeri-negeri angkat bagi mendekati pengundi di seluruh DUN itu.
“Sistem angkat itu sendiri membolehkan gerak kerja dilaksanakan dengan lebih mantap dan lancar tanpa berlaku pertindihan kawasan dan tugas,” katanya kepada Teganukita semalam.
Puan Nordiana berkata, antara program yang digerakkan termasuk Ehsan Ramadan dengan menjelajahi setiap kampung untuk mendekati golongan yang kurang bernasib baik dan daif sambil memberi sumbangan bagi meringankan bebanan mereka. “Golongan sasar di setiap program penjelajahan dan lawatan itu adalah di kalangan pengundi wanita yang berumur 35 tahun ke bawah terutama ibu tunggal.
“Pendekatan kita bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan pembelaan apatah lagi di bulan yang penuh keberkatan ini, malah kita merasakan program itu lebih kepada sentuhan peribadi dengan menemui mereka secara langsung di rumah masing-masing,” katanya yang melawat penduduk di sekitar Kampung Pisang, pagi semalam.
Selain itu, Puteri selaku sayap bongsu parti turut melaksanakan `tugas wajib’ menggerakkan bahagian teknologi maklumat (IT) bagi memantau dan melancarkan proses memasukkan data berkaitan daftar pemilih serta pengundian.
Menurutnya, semua jentera Puteri yang terlibat sudah bersedia dengan tugas baru itu, memandangkan mereka baru sahaja selesai berkhidmat ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu, selain sebahagiannya lagi bertindak sebagai perayu undi bersama Wanita Umno yang memasuki setiap cawangan dan peti undi
Selain itu, Puteri turut yakin dengan kekuatan calon `ore muda’, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, yang ditampilkan BN kerana berpotensi untuk memikul amanah rakyat serta meneruskan legasi kecemerlangan bekas penyandang kawasan itu, Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar, jika BN terus diberi mandat pada PRK ini.
Teganukita
No comments:
Post a Comment